MELBOURNE: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menegaskan, langkah republik itu menyediakan insentif untuk konsert Taylor Swift, bukan berniat untuk mencetuskan permusuhan dengan negara-negara jiran.
Jelas beliau, agensi kerajaan telah berunding dengan pihak bintang pop itu untuk membuat konsert di Singapura dan menjadikan republik itu satu-satunya venue di Asia Tenggara.
“Ia kemudiannya menjadi satu aturan yang berjaya dan saya tidak lihat ia sebagai “tidak mesra”,” jelas Perdana Menteri itu pada satu sidang media di sini, hari ini.
Lee menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang berlangsung dari 5 hingga 6 Mac.
Terdahulu, Singapura didakwa memiliki ‘hak eksklusif’ ke atas Taylor Swift, selepas membuat perjanjian dengan pihak penyanyi itu untuk tidak menganjurkan konsert jelajah dunia di mana-mana negara Asia Tenggara, kecuali di republik itu.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mendakwa, beliau dimaklumkan sedemikian oleh penganjur konsert ‘Taylor Swift: The Eras Tour’, AEG Presents.
Manakala Filipina menyifatkan, tindakan Singapura itu “bukan sesuatu yang wajar dilakukan oleh jiran yang baik”.
Kementerian Budaya, Komuniti dan Belia Singapura (MCCY) kemudiannya menjelaskan, pihaknya mengenal pasti wujud permintaan yang tinggi daripada rakyat Singapura dan peminat Swift di seluruh rantau ini.
“Justeru MCCY bekerjasama dengan AEG Presents, dengan disokong Lembaga Pelancongan Singapura (STB) melalui penawaran geran.
Swift ketika ini berada di Singapura, untuk menjayakan konsert ‘The Eras Tour’ selama 6 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Singapura miliki ‘hak eksklusif’ ke atas Taylor Swift?
- Persembahan artis luar: Tiada peruntukan kerajaan untuk hak eksklusif penganjur konsert
- Nombor giliran prajualan tiket konsert Taylor Swift di Singapura cecah sejuta