Oleh Buletin Tv3
PETALING JAYA: Tak lekang dek kontroversi, penyanyi Noh Salleh kembali menjadi bualan netizen.
Terbaharu gaya Noh di pentas peragaan sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW22) yang tular semalam.
Vokalis kumpulan Hujan itu tampil memperagakan busana berwarna hitam dari jenama miliknya ‘Hikari Riders’.
Namun apa yang tak sedap mata memandang apabila gaya peragaannya sambil memegang rokok.
Bagaimanapun, rokok itu sebenarnya tidak dinyalakan dan hanya menjadi sebahagian ‘props’ tambahan.
Di laman Twitter, gaya peragaannya itu mencetuskan rasa kurang senang netizen dan mempersoalkan tindakan terbaharunya itu.
Menurut @wabisaby dalam ciapannya dipetik berkata apabila kita berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan orang muda untuk tidak merokok, disini kita lihat seseorang cuba mempromosikannya.
@ayshardzn pula berkata pihak penganjur sewajarnya tidak membenarkan perkara itu terjadi.
“Hisap vape ketika ditemuramah sekarang hisap rokok di pentas peragaan. Penganjur KLFW tidak sewajarnya membenarkan perkara ini terjadi,” ujarnya.
Tak kurang juga ada yang berpendapat penyanyi itu kelihatan sedikit berbeza berbanding sebelumnya dan kemungkinan sedang berperang dengan kes penceraiannya dengan Mizz Nina.
Kejadian itu turut dikaitkan dengan tindakannya menghembuskan asap vape kepada wartawan yang turut tular sebelum ini.