comscore
Tumpuan :
Hiburan

Penerbit Tunggu Masa Perjelas Tunda Muzikal Moyang Salleh

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, kecoh apabila Muzikal Moyang Salleh yang sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya (IB) selama enam hari, mulai esok, ditunda.

Pelbagai cerita mengaitkan keputusan penerbit menunda pementasan mengangkat kisah kepahlawanan Moyang Salleh yang memerdekakan Jelebu itu, antaranya, jumlah pelakon dikurangkan dan naskhah bukan lagi genre muzikal.

Penerbit teater muzikal itu, Siti Salbiah Zahari memohon diberi ruang dan berjanji memberi penjelasan berhubung keputusan menunda pementasan Muzikal Moyang Salleh.

“Saya ada pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Selepas perjumpaan itu, barulah kita akan anjurkan sidang media bagi menjelaskan perkara yang berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Siti Salbiah dilaporkan berkata, Teater Muzikal Moyang Salleh tidak dibatalkan, sebaliknya ditunda kepada 23 September depan di lokasi baharu iaitu Auditorium Raja Melewar, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan.

Isu penundaan Teater Muzikal Moyang Salleh yang antara lain membariskan Datuk Ahmad Tamimi Siregar yang bakal melakonkan watak Moyang Salleh dan Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazam Shah), diumumkan Along Eyzendy melalui hantaran Facebook (FB).

Ketika dihubungi, Along, 42, mengaku memuat naik entri itu bagi memaklumkan kepada penerbit lain bahawa dia dan pelakon lain sedia menerima tawaran baharu berikutan penundaan pementasan itu.

“Saya fikir perlu untuk hebahkan kerana kami bekerja secara ‘freelance’.”Orang nampak seolah-olah saya sibuk, jadi, saya tidak mahu penerbit lain tidak berani memanggil kami,” katanya sambil menambah hantaran itu dimuat naik selepas mendapati syarikat produksi Muzikal Moyang Salleh tidak membuat pengumuman dalam media sosial.

Along menganggap pementasan Muzikal Moyang Salleh dibatalkan kerana perubahan tarikh dan lokasi.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini