![](https://media.buletintv3.my/2023/07/CMS-ZAMIR-92.jpg)
KUALA LUMPUR: “Sebenarnya kami dah tanya, kalau tak ready kita cuba cari pengganti, tapi dengan semangat setiakawan untuk selesaikan tanggungjawab sebagai pemuzik, beliau tetap teruskan.”
Demikian kata penyanyi utama Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, berhubung pemain gitar bass kumpulan itu, Eddie.
@buletintv3 Datuk Awie puji semangat Eddie tampil buat persembahan bersama Wings, sehari selepas isteri meninggal dunia. #BeritaDiTikTok #EddieWings #Wings
Eddie kekal profesional, tampil beraksi pada konsert di acara Nusafest malam tadi, sehari selepas isterinya meninggal dunia.
Lebih manis, anak perempuannya, Bila turut serta sebagai penyanyi latar.
Eddie yang kelihatan sebak, menceritakan bagaimana beliau dan Bila bergilir-gilir menjaga arwah isteri ketika di hospital selama dua minggu, kerana menjalani rawatan dialisis.
Allahyarham Norlela Mohd Yusof meninggal dunia pada petang Jumaat lalu di Hospital Ampang, akibat komplikasi buah pinggang.
Kelihatan anggota kumpulan Wings yang lain turut sebak dan tidak dapat menahan air mata ketika menyampaikan lagu berjudul “Harapan” yang ditujukan khas untuk Eddie.
Menurut Datuk Awie, hubungan yang terjalin antara beliau dengan Black (pemain drum), Eddie (gitar bass) dan Edrie (gitar utama) diibaratkan seperti adik-beradik.
Kumpulan Wings yang beraksi sebagai ‘headliner’ telah melakukan persembahan penutup di Nusafest, semalam.
Festival yang berlangsung pada 8 dan 9 Julai 2023 di Bandar Malaysia, Sungai Besi menggabungkan seni dan budaya tiga negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Turut beraksi ialah kumpulan Search, Butterfingers, Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, lqbal M., White Percussion Unit, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Skacinta dan Monoloque.
Manakala kumpulan muzik dari Indonesia ialah Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, Kelompok Penerbang Roket, The Changcuters, Burgerkill, Seringai, Diskoria, Dipha Barus dan Ras Muhamad, sementara Singapura diwakili The Pinholes.
Selain Panggung Nusa iaitu dua pentas bersebelahan dengan pengisian tanpa henti, aktiviti lain yang turut dianjurkan ialah Warong Nusa membabitkan jualan juadah dan Pasar Nusa yang menampilkan barangan seni serta kraf tangan Nusantara.