comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

PDRM bantu papar kisah ‘love scam’ menerusi Oppa

KUALA LUMPUR: Kesukaran mencari penaja dan pelabur tidak mematahkan semangat penerbit Dream Film Sdn Bhd untuk menghasilkan filem Oppa.

Pengarah, Choong Lin Loong, berkata mungkin disebabkan Oppa berkisar kisah ‘love scam’, iaitu bukan filem komersial, menyukarkan mereka ‘memancing’ penaja.

Bagaimanapun, pihaknya lega apabila akhirnya, ada pihak sudi melabur bagi merealisasikan pembikinan filem Oppa.Selain itu,

Dream Film mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) untuk menghasilkan naskhah itu.

“Pada peringkat awal pembikinan, tak ramai berminat untuk melabur kerana kami faham Oppa bukanlah filem komersial,” katanya.

Filem Oppa menyaksikan pembabitan 80 anggota polis sebagai pelakon tambahan.

Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Asisten Superintendan Lai Lee Ching pula bertindak selaku pengarah projek, iaitu membantu syarikat produksi dalam aspek penyelarasan jadual anggota polis.

Lin Loong berkata, filem Oppa berkisar jenayah penipuan cinta atau ‘love scam’ yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Jalan cerita dipaparkan adalah adaptasi daripada kisah benar yang berlaku berdasarkan laporan polis dibuat.

“Objektif kami adalah untuk memberi kesedaran kerana ada mangsa membabitkan golongan terpelajar.

“Sekurang-kurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem,” katanya.

Memilih judul Oppa, Lin Loong berkata, istilah itu merujuk kes individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi ‘dating apps’ dalam media sosial.

Oppa yang menggunakan bahasa Mandarin, Inggeris dan Melayu memaparkan kisah seorang guru yang bercinta dengan jejaka Korea, tetapi mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya tiba-tiba menghilangkan diri.

Lebih malang lagi, guru itu turut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka untuk diberikan kepada kekasihnya.

Filem Oppa menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta pempengaruh, Jacqueline Goh Wan Yi.

Turut terbabit, pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini