comscore
Tumpuan :
Hiburan

Pasukan Malaysia rangkul 13 emas, Umairah diangkat juara dunia

Pasukan Malaysia mengharumkan nama negara dengan membawa pulang 13 emas, perak (11) dan gangsa (13) di kejohanan WCOPA Ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, AS. – Foto IG Ummi Umairah

KUALA LUMPUR: Pasukan negara menamatkan kejohanan World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat (AS) dengan pencapaian cemerlang apabila membawa pulang 13 pingat emas, 11 (perak) dan 13 (gangsa).

Pasukan Malaysia turut meraih pencapaian terbaik apabila meraih 11 Juara Bahagian (Division Winner) dan satu biasiswa belajar di New York Film Academy.

Malah, pasukan Malaysia menggayakan pakaian tradisional berbilang kaum bagi tujuan mempromosikan seni dan kebudayaan Malaysia serta joget dalam ‘Parade of Nations’ dalam majlis perasmian kejohanan, sekali gus berjaya menawan hati ramai, lalu dinobatkan Anugerah Kostum Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mycreative Promotion Sdn Bhd merangkap pengarah pasukan, Romli Bidin berkata, dia berbangga dengan pencapaian diraih pasukan Malaysia, tahun ini.

“Saya bersyukur kejayaan pasukan Malaysia, tahun ini. Mereka sudah melepasi jangkaan kejayaan pasukan dan membanggakan negara.

“Tambah membanggakan anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ummi Umairah Saiful Anuar, 13, meraih Juara Dunia di peringkat akhir. Kali terakhir, Aina Abdul menjuarai kategori vokal pada 2014.

“Terbukti pasukan Malaysia mempunyai ramai penyanyi dan karyawan yang berkualiti serta bertaraf antarabangsa. Hanya mereka memerlukan peluang untuk berkembang ke arena antarabangsa,” katanya.

Tambah Romli, tidak kira muda atau tua, Malaysia mempunyai ramai yang berbakat.

“Dalam program temubual bersama pengarah, penerbit dan eksekutif syarikat hiburan Hollywood, kesemua peserta Malaysia sudah mendapat temu janji untuk perjumpaan bersama mereka.

“Artis-artis kita amat diminati di Hollywood bukan sahaja kerana bakat, malah dilihat berdisiplin dan komited,” katanya.

Seramai 15 peserta dipilih mewakili negara dalam kejohanan WCOPA, tahun ini. Kejohanan yang baru tamat semalam menyaksikan lebih 30 negara bertanding bagi merebut kejohanan dunia.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan, iaitu kategori Vokal, Tarian, Muzik, Peragaan, Lakonan dan Pelbagai Seni bagi peringkat Junior (5 hingga 15 tahun) dan Senior (16 tahun ke atas).

Romli berkata, kesemua ahli pasukan Malaysia, kecuali seorang berjaya ke peringkat separuh akhir.

“Pasukan Malaysia bertanding dalam kategori Vokal, Tarian, Muzik dan Peragaan. Seramai enam peserta pula berjaya meneruskan pertandingan ke peringkat akhir iaitu Dion Das Anak Louis, Ryan Zachary Shareef Van Der Horst, Aleysha, Ummi Umairah dan Vanessa Williams.

“Dalam kejohanan di peringkat akhir, yang ditayang secara langsung seluruh dunia, Malaysia sekali lagi memperlihatkan kehebatan artis kita di persada dunia.

“Ummi Umairah muncul sebagai Juara atau Grand Champion dalam kategori Vokal Junior. Tetapi, apa yang lebih menakjubkan keputusan kejohanan keseluruhannya.

“Dalam acara penyampaian pingat, pasukan Malaysia sekali lagi membuktikan kehebatan dan mengharumkan nama Malaysia di arena hiburan antarabangsa.

“Dari 70 pertandingan disertai oleh pasukan Malaysia, kita sudah berjaya merangkul 37 pingat iaitu pencapaian sebanyak 54 peratus,” katanya.

WCOPA berlangsung dari 28 Jun hingga semalam di Long Beach Performing Arts Center, California, AS dengan aksi cemerlang pasukan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini