comscore
Tumpuan :
Hiburan

Nurul Shuhada ada ‘DM’ saya – Puteri Sarah

Puteri Sarah (kiri) mengakui dihubungi Nurul Shuhada yang meminta nasihat mengenai kemelut rumah tangganya ketika beliau berada di Madinah, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: “Ketika saya berada di Madinah, Nurul Shuhada menghantar ‘direct message’ (DM) kepada saya,” jelas Puteri Sarah Liyana, 37, yang mengaku memberi nasihat kepada bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, Puteri Sarah berkata, dia hanya memberi nasihat mengenai tindakan terhadap pihak ketiga kepada Nurul Shuhada yang menghubunginya ketika beliau mengerjakan Umrah, baru-baru ini.

Tambah Puteri Sarah, apa yang berlaku dalam hubungan Nurul Shuhada dan Hafidz selepas beliau berkongsi nasihat, tidak ada kena mengena dengan dirinya.

“Dia bercerita mengenai masalahnya dan meminta saya mendoakan dirinya dan bertanya apa tindakan yang perlu diambil sebab dia memang tidak tahu (hendak buat apa).

“Saya tidak mahu nasihat lebih-lebih, tetapi saya ada baca komen sesetengah individu yang menyebut saya ajar perkara salah. Saya cuma cakap bagaimana hendak ‘mengajar’ pihak ketiga yang mengganggu rumah tangga.

“Saya jelaskan apa tindakan yang perlu diambil kepada pihak ketiga dan nasihat mengenai peguam. Apa yang berlaku dengan kehidupan dia dan apa terjadi, baru-baru ini, tiada kena mengena dengan saya,” katanya ditemui pada majlis penjenamaan semula busana tekstil dan pertunjukan fesyen Cosry di Shoppes By Four Seasons di sini, hari ini.

Puteri Sarah berkata, sebagai wanita yang menghadapi masalah rumah tangga, dia faham apa yang dirasai Nurul Shuhada.

Malah, Puteri Sarah mengaku bersedih atas apa yang menimpa ibu kepada dua cahaya mata terbabit.

Sehubungan itu, Puteri Sarah banyak memberikan kata-kata semangat kepada Nurul Shuhada.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku. Jadi saya beri kata-kata semangat kepadanya. Sebab kena fikir kesihatan mental Nurul Shuhuda sebagai mangsa.

“Saya beritahu kita sebagai wanita, kena bekerja disebabkan Nurul Shuhada tidak bekerja. Dia kena ada duit sendiri.

“Saya beritahu, buat apa dia nak buat dan apa hati dia mahu. Jangan buat apa yang orang suruh. Dia cakap dia tak boleh tahan, tidak tahu nak buat apa,” katanya.

Menurut laporan media sebelum ini, adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia mendedahkan Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap kakaknya.

Sofia dilaporkan berkata, kakak dan abang iparnya sedang menunggu prosiding di Mahkamah Syariah berhubung perceraian mereka.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila Nurul Shuhada mendedahkan suaminya ada hubungan dengan wanita lain.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2.

Loading...
Terkini