KUALA LUMPUR: Tampil buat kali pertama pada konsert selepas kontroversi perceraian dengan bekas isteri, Mizz Nina, awal bulan ini, Noh Salleh mengucapkan terima kasih kepada peminat setia.
Tersentuh dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat, Noh menyifatkan Konsert 3 Generasi di Zepp KL, di sini sebagai pengubat duka.
Di pentas itu, Noh berkata:
“Setinggi-tinggi penghargaan saya beri atas sokongan semua malam ini. Tahun ini, macam-macam sudah saya lalui… Ini antara pengubat duka.”
Pada 4 Ogos lalu, Noh mengesahkan perceraian dengan Mizz Nina selepas 11 tahun hidup bersama.
Noh dan Mizz Nina masing-masing berkongsi berita perpisahan itu secara serentak menerusi Instagram (IG).
Noh dilaporkan berkata, keputusan berpisah dibuat bersama.
Namun, melalui hantaran itu, mereka tidak berkongsi tarikh perceraian.
Konsert 3 Generasi membabitkan Noh, kumpulan Spider dan XPDC.
Noh berkata, peluang membuat persembahan di Zepp KL dianggap mimpi jadi nyata.
“Zepp KL adalah lokasi francais dari Jepun yang eksklusif. Jadi, bagi saya yang membesar mendengar muzik dari Jepun, saya berbangga dapat membuat persembahan di sini… Ini seperti mimpi jadi kenyataan.
“Terima kasih kerana memberi peluang untuk mempersembahkan seni saya kepada semua malam ini (malam tadi).
“Jujur, pada awalnya, saya risau apakah ada yang mahu beli tiket pada harga yang agak tinggi. Tetapi ternyata saya pandang rendah kepada peminat Malaysia. Nampaknya, anda semua sokong artis tempatan… Terima kasih,” katanya.
Pada konsert itu, Noh bersama sembilan pemuzik iringan mendendangkan lagu Gelung, Bisikan, Renjana, Biar Seribu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.
Bagaimanapun, media tidak berpeluang menemubual Noh di belakang pentas selepas berakhir konsert terbabit.
Sementara itu, kumpulan Spider yang ditemui terharu melihat sambutan positif peminat.
Vokalisnya, Tam berkata, mereka tersentuh melihat peminat mewakili generasi muda hadir memberi sokongan.
“Kami hargai sesiapa yang datang walaupun mahu tengok Spider tetapi sanggup bayar untuk tiga artis.
“Kami tidak pernah buat konsert solo sebab belum ada pihak yang berani anjurkan konsert kami. Selama ini, kami hanya buat ‘showcase’,” katanya.
Tam mengaku konsert solo bukanlah matlamat band itu.
“Mana-mana undangan, kami tetap pergi. Namun, kami tetap mementaskan konsert solo Spider, suatu hari nanti, biarpun itu bukan matlamat utama kami.
“Dapat beraksi pada ‘showcase’ begini sudah cukup untuk kami hiburkan peminat,” katanya.
Apa yang istimewa, malam tadi, Spider mendendangkan lagu Mentera Semerah Padi bagi memberi penghargaan kepada komposer Datuk M Nasir yang banyak berjasa dalam perjalanan seni band itu.
“Sebenarnya, kami tidak merancang memberi penghormatan. Semua ini berlaku secara spontan kerana M Nasir turut hadir pada konsert ini.
“Selain itu, lagu berkenaan dinyanyikan bagi membangkitkan semangat Mat Kilau yang hangat sekarang. Kalau diikutkan, saya mahu panggil peminat bersilat di pentas, namun, tidak berkesempatan,” katanya.
Spider yang membuka tirai konsert mendendangkan lagu Kau Saja, Kelawar Vampira, Anti Graviti, Kacap Terlabik, Hidupku, Mungkinkah Terjadi dan Mabok.
Selepas Spider, kumpulan rock otai, XPDC yang sebelum ini dikenali sebagai Raja Funfair, menunjukkan taringnya.
Namun, pada akhir segmen, vokalis XPDC, Mael atau nama sebenar, Syed Ismail Syed Ibrahim tidak dapat meneruskan persembahan dan digantikan anaknya mendendangkan tiga lagu terakhir.
XPDC turut bersama Spider dan Noh menyampaikan lagu popular mereka, Semangat Yang Hilang sebelum melabuhkan tirai konsert.
Konsert 3 Generasi anjuran YOLO Live Sessions berakhir pada jam 11.40 malam. Artis dan band masing-masing diberi tempoh 45 minit untuk membuat persembahan.- BERITA HARIAN