KUALA LUMPUR: Berita pernikahan kali kedua selebriti dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina yang dikongsikan malam tadi menjadi bualan hangat dan tular di platform media sosial.
Ramai yang terkejut kerana bekas penyanyi itu tidak pernah menghebahkan kisah peribadinya, dan ramai juga yang berteka-teki siapa jejaka yang berjaya menawan hati Mizz Nina.
Essam Muhammad yang berasal dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) dan berketurunan Maghribi adalah penyanyi rap dan penulis lirik yang aktif dalam bidang muzik.
Beliau memulakan karier pada 2016 dengan melancarkan lagu dan video muzik berjudul ‘West Is My Home’ sebelum melebarkan sayap dengan memenuhi pelbagai undangan di beberapa negara seperti Afrika Selatan, United Kingdom, Switzerland dan Malaysia.
Selain itu, Essam turut aktif dalam komuniti di Seattle dengan membantu membuka peluang untuk penyajak muda berkongsi idea dan hasil kerja masing-masing.
Dalam tempoh kurang 24 jam berita pernikahan mereka diumumkan, jumlah pengikut di akaun Instagram Essam turut melonjak daripada 14,000 kepada lebih 27,000.
Semalam, Mizz Nina yang juga bekas isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh mengumumkan sudah berkahwin dengan Essam, baru-baru ini.
Melalui hantaran dimuat naik di IG, Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 43, menjelaskan majlis pernikahan dibuat secara tertutup dan dihadiri keluarga serta teman rapat, pada suku kedua tahun ini.
Mizz Nina mendirikan rumah tangga dengan Noh pada 2 Julai 2011, namun bercerai pada Ogos tahun lalu.
Mereka mengambil seorang anak angkat yang diberi nama Musa.