Tumpuan :
Hiburan

Misi tawan semula China

Penyanyi, Shila Amzah pada majlis pelancaran Supernova Screenings 2022.

KUALA LUMPUR: Jika dihitung, sudah tiga tahun penyanyi Shila Amzah tidak menjejakkan kaki ke China berikutan penularan pandemik COVID-19.

Namun, itu tidak bermakna Shila sudah melupakan negara yang pernah menjadi padang permainan ketika mengambil keputusan berani menyertai program realiti nyanyian dalam bahasa Mandarin di China.

Sebelum munculnya virus berbahaya itu, nama penyanyi lagu Patah Seribu ini cukup menyinar di China dan boleh dikatakan negara itu ibarat rumah keduanya.

Tidak mampu menyembunyikan keterujaan kembali ke China bertemu peminat, Shila atau nama sebenar, Nur Shahila Amir Amzah memberitahu, dia sudah bersedia untuk ‘terbang’ ke republik itu, tahun depan.

“Saya tidak pernah meninggalkan China walaupun sudah tiga tahun saya tidak ke sana berikutan pandemik COVID-19.

“Saya memang ada perancangan kembali ke China, tahun depan. Cuma, sebelum itu, saya perlu mempersiapkan diri termasuk membina semula keyakinan.

“Selain mencari waktu sesuai, saya kena buat persediaan seperti mendapatkan pasukan kerja yang tepat serta menghasilkan single Mandarin yang sesuai untuk dibawa ke sana.

“Tidak perlu terburu-buru kerana pada Februari depan, penduduk China akan menyambut Tahun Baharu Cina. Biasanya, mereka akan bercuti lebih sebulan.

“Jadi, saya kena pastikan ‘comeback’ tepat pada masanya. Saya mahu kehadiran memberi impak kepada peminat di China,” katanya ketika ditemui pada program Supernova Screening 2022 di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan bagi mengumumkan kerjasama strategik Media Prima Berhad (MPB) dan rangkaian stesen televisyen (TV) terbesar China, Hunan Broadcasting System (HBS).

Sepanjang tiga tahun hilang daripada radar seni di negara yang mempunyai populasi penduduk seramai 1.4 bilion itu, Shila yang memiliki vokal mantap, yakin pesona yang ada padanya masih mampu memukau peminat.

“Belum buka mulut, mereka sudah boleh nampak perbezaan yang saya ada berdasarkan penampilan.

“Cara nyanyian saya juga berbeza. Saya yakin kelebihan itulah yang membuatkan mereka boleh terima saya,” katanya optimis.

Dalam perkembangan lain, Shila bakal muncul dengan program realiti Shila Amzah Masterclass musim kedua yang bakal menyaksikan dia menjadi mentor kepada individu yang berminat mengembangkan kerjaya nyanyian dalam bahasa Mandarin.

“Untuk musim kedua, pesertanya lebih pelbagai dan tidak semestinya berketurunan Cina. Program Ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang boleh menyanyi dan bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Saya dikhabarkan penyertaan akan dibuka kepada peringkat serantau iaitu negara jiran. Mungkin uji bakat akan dilakukan secara virtual,” katanya.

Menyifatkan Shila Amzah Masterclass berbeza dengan program realiti seumpamanya, Shila meluahkan rasa teruja kerana pembikinan musim kedua program ini mendapat kerjasama HBS.

“Besar kemungkinan program ini akan dibawa ke sana (HBS). Berita ini sangat mengujakan dan membawa kembali ingatan saya kepada pertandingan I Am Singer yang saya sertai kerana ia diterbitkan oleh HBS.

“Saya yakin program ini mampu memberi impak kerana pengisiannya yang berbeza serta kualiti pembikinannya,” katanya yang turut tetamu dengan menyanyikan beberapa lagu Mandarin pada majlis itu.

Pada pentas akhir program realiti I Am A Singer, Shila meraih tempat ketiga dalam acara yang berlangsung di Changsha, China pada 2014.

Shila tewas kepada Han Lei dari China yang bergelar juara dan penyanyi Hong Kong, G.E.M menduduki tempat kedua.

Musim pertama Shila Amzah Masterclass menyaksikan lima protege dipilih Shila melalui latihan ‘Boot Camp’ intensif selama 10 hari dengan kemahiran teknikal dan ketahanan psikologi mereka diuji.

Shila Amzah Masterclass disiarkan di saluran 8TV, November tahun lalu. – BERITA HARIAN

 

Loading...
Terkini