SEOUL: Ahli kumpulan BTS, Suga memohon maaf hari ini, selepas ditangkap memandu skuter elektrik dalam keadaan mabuk.
Menurut agensinya, Big Hit Music, rapper berusia 31 tahun itu ditemui terbaring bersendirian di tepi jalan malam semalam, bersama skuter eletrik yang ditunggangnya.
Suga atau nama sebenarnya, Min Yoon-gi dilaporkan telah didenda dan lesennya ditarik, selepas ujian alat pernafasan ke atasnya mengesan kandungan alkohol dalam tubuh penyanyi itu.
Big Hit juga menjelaskan, kejadian itu berlaku ketika Suga dalam perjalanan pulang ke rumahnya, selepas mengambil minuman keras.
Suga kemudian dibawa pulang ke rumah oleh polis pengiring.
Untuk rekod, di Korea Selatan, skuter eletrik tertakluk kepada peraturan jalan raya sama seperti kereta.
Permohonan maaf itu dibuat Suga menerusi platform Weverse.
Ketika ini, penyanyi berasal dari Daegu, Korea Selatan itu sedang menjalani khidmat ketenteraan wajib sebagai pekerja khidmat sosial.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.