KUALA LUMPUR: Siri animasi 3D Mechamato yang diterbitkan studio animasi tempatan Monsta diundi pada kedudukan ke-8 dalam kalangan 100 Karya Anime Terbaik menerusi Festival Anugerah Anime Tokyo 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Razak berkata pihaknya terkejut dengan pencapaian itu memandangkan siri animasi itu baru dimasukkan dalam senarai pencalonan, beberapa hari lalu.
“Untuk berada dalam senarai 10 terbaik dan menjadi ‘trending’ adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan sama sekali, selain berjaya memasuki pasaran di Jepun.
“Pencapaian diraih animasi Mechamato ini, sekali gus menunjukkan potensi untuk bakat tempatan menembusi pasaran global,” katanya kepada BH Online.
Siri animasi Mechamato musim pertama kini boleh ditonton menerusi platform penstriman Netflix dalam enam bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun, Korea, Mandarin dan Thailand.
Selain itu, tujuh jenis sari kata turut disediakan seperti Tagalog dan Indonesia.
Siri Mechamato turut ditayangkan di stesen TV9 sejak 3 Oktober lalu, setiap Isnin dan Selasa, pada jam 6 petang.
Tidak hanya itu, peminat boleh menonton siri berkenaan di TV3 mulai 4 Disember depan, manakala peminat di Indonesia boleh menonton menerusi saluran MNCTV (17 Oktober) dan Vidio (21 Oktober).
Terdahulu, siri Mechamato berjaya menawan hati lebih 20 negara di Asia Pasifik.
Menerusi saluran Cartoon Network Asia Pasifik, siri Mechamato mendapat perhatian peminat animasi di Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia, New Zealand dan Portugal.
Sementara itu, Mechamato Movie yang sudah dua kali tertunda akan memasuki pawagam sempena cuti sekolah pada 8 Disember depan.
Filem Mechamato mengisahkan remaja lelaki, Amato yang menjumpai kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.
Satu daripada robot itu ialah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan objek seharian sebagai alat berteknologi tinggi.
Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan MechaBot. Sejak itu, MechaBot dan Amato sentiasa bekerjasama mengesan dan menangkap robot jahat.
Monsta juga adalah pencipta kepada siri animasi 3D dan filem BoBoiBoy yang berjaya menembusi lebih 70 negara di seluruh dunia dan dialih kepada lebih 12 bahasa. – BERITA HARIAN