Tumpuan :
Dunia Seni

Mary Grace cipta kemenangan epik di pentas akhir CSOIAM

Mary Grace sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzilk tanah air. 

KUALA LUMPUR: Selepas lapan minggu penuh aksi dan persaingan sengit, Calpis Soda One in a Million (CSOIAM) melabuhkan tirainya secara rasmi dengan menobatkan Mary Grace sebagai juara sekaligus membawa pulang hadiah bernilai RM1 juta.

Mary Grace berjaya memikat hati jutaan penonton dengan penampilan vokal yang luar biasa serta persembahan memukau dan bertenaga.

“Impian saya menjadi menjadi kenyataan. Sokongan tanpa henti, kasih sayang peminat dan pengalaman yang tidak ternilai menjadikan perjalanan ini satu kenangan yang sukar dilupakan.

“CSOIAM telah membuka pintu peluang yang luar biasa untuk saya..dan saya bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam karier muzik. Terima kasih kepada semua yang mempercayai saya. Ini hanyalah permulaan,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Barisan juri mengakui sukar membuat keputusan untuk memilih yang terbaik antara yang terbaik dalam pentas muzik paling epik itu.

Grand Finale CSOIAM menyaksikan empat finalis terbaik, Kai Deva; Mary Grace; Jimi dan Zazzleen mempersembahkan lagu baharu eksklusif yang dicipta khas serta interpretasi segar lagu lama dengan sentuhan unik masing-masing bagi menguji keupayaan vokal mereka.

Pentas akhir dibuka dengan persembahan blokbuster gilang-gemilang daripada Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan kemudian persembahan oleh Ratu Rock Malaysia, Ella.

Naib juara OIAM musim pertama Faizal Tahir turut melontarkan suara di pentas hebat ini bersama dengan juri tetap yang diterbangkan khas dari Indonesia saban minggu, Cakra Khan serta bintang ternama, Nicholas Saputra.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Nini Yusof berkata, CSOIAM bukan sahaja berjaya mencungkil dan mengangkat bakat-bakat hebat, tetapi juga menyatukan rakyat Malaysia dalam meraikan muzik dan impian.

“Mary Grace telah membuktikan bakat, kecekalan dan aura bintang yang ada pada dirinya. Kami amat berbangga dapat menyaksikan permulaan kepada sebuah kerjaya yang bakal bersinar gemilang ini,” katanya.

Ternyata perjalanan kolektif semua peserta membuktikan bahawa CSOIAM bukan sekadar pertandingan, tetapi ia adalah platform yang mencungkil dan membentuk ikon muzik masa depan Malaysia.

Tidak terhenti di konsert grand finale, peminat juga berpeluang bertemu secara eksklusif bersama Mary Grace dan barisan finalis Top 14 dalam acara istimewa Meet & Greet yang akan berlangsung pada 14 Februari 2025 di Bukit Bintang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini