PETALING JAYA: Lafaz cerai oleh penyanyi veteran, ND Lala, 62, terhadap isterinya, Fauziah Sarman perlu disahkan di mahkamah syariah.
Menurut Peguam Syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh, kuasa untuk mengesahkan sesuatu lafaz cerai sama ada lisan mahupun bukan lisan perlu ditentukan pihak hakim yang mempunyai kuasa berkenaan.
“Semuanya tertakluk kepada fakta dan pertimbangan hakim. Jadi perlu disahkan di mahkamah, ” katanya ketika diminta mengulas isu lafaz cerai menerusi aplikasi WhatsApp.
Sebelum ini, spekulasi pergolakan rumah tangga ibu bapa penyanyi Shila Amzah itu terjawab apabila Datin Fauziah Sarman mendedahkan telah bercerai dengan suaminya yang juga pelakon dan penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala.
Pendedahan menerusi perkongsian dimuat naik Instagram (IG), Fauziah bahawa lafaz cerai dilakukan suaminya pada 2 Ogos lalu di sebuah masjid, namun hanya dimaklumkan mengenainya menerusi aplikasi WhatsApp, dua hari lalu.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah, saya ingin memaklumkan yang saya menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp dikirimkan pada pagi 8 Ogos (semalam).
“Untuk perkahwinan terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam melalui pesanan WhatsApp,” tulisnya.
Sebelum ini, ND Lala dikaitkan dengan dakwaan berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya.
Difahamkan, Siti Munirah bukanlah asing dengan keluarga Fauziah dan ND Lala kerana dia adalah rakan sekolah Shila.
Mereka pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah dan Siti Munirah sering berkunjung ke rumah mereka untuk majlis tertentu terutama keluarga.
3 April lepas, Fauziah pernah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bagi tujuan memfailkan perceraian terhadap ND Lala.
Namun dinafikan adik Shila iaitu Syada Amzah.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1989 dan menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Nurshahila atau Shila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.