Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan
SUBANG JAYA: Saluran TV9 tampil dengan sebuah program realiti memasak; Dapur Tempur yang bakal menyaksikan lapan pasangan berentap menyediakan pelbagai resipi menarik mengikut tema berbeza setiap minggu.
Program realiti sebanyak lapan episod itu akan ‘mula berasap’ pada setiap hari Khamis jam 8.30 malam, bermula 3 November ini.
Menurut Pengurus Besar, Pengurusan Kandungan dan Siaran TV9, Khairunisa Kamarulzaman, pihaknya amat teruja dengan program tersebut kerana ia merupakan program realiti masakan pertama selepas saluran TV9 melalui penjenamaan semula, tahun lalu.
“Untuk program Dapur Tempur ini, kami mengharapkan seisi keluarga dapat menonton bersama-sama kerana di dalam program ini, kita bukan sahaja dapat lihat peserta belajar memasak, tetapi ada pelbagai drama di dalamnya.”
“Ada momen saspens, ada momen gembira dan kita juga dapat lihat mereka mencapai satu keserasian dalam masakan”.
Program tersebut akan dihoskan oleh artis terkemuka Yasmin Hani, manakala peserta akan diadili cef selebriti, Chef Adu dan selebriti terkenal Sheila Rusly.
Bagi Chef Adu yang dipilih sebagai salah seorang juri tetap program realiti ini, beliau berpendapat yang Dapur Tempur merupakan satu program yang unik, kerana mengetengahkan elemen kekeluargaan dalam sebuah program masakan.
“Sebab ini merupakan satu program realiti keluarga, kita satukan adik beradik, suami isteri dan pelbagai lagi pertalian keluarga untuk memasak dalam satu dapur yang sama, tetapi perlu bertempur dengan keluarga lain. Jadi saya rasa ia merupakan satu konsep yang menarik.”
Bagi Shiela Rusly pula, program seperti ini mampu melahirkan lebih ramai chef selebriti di negara ini.
“Bila ada program sebegini, yang komen-komennya begitu ikhlas dan jujur, saya rasa peserta akan dapat ilmu dan pendapat yang lebih banyak”
“Bukan itu sahaja, mereka juga akan dapat mengenal pasti di mana kesalahan-kesalahan mereka.” ujarnya lagi.
Setiap episod juga bakal menampilkan beberapa juri jemputan seperti Naim Daniel, Ayda Jebat, Michael Ang serta ramai lagi.
Lebih menarik, peserta akan diberikan cabaran berbeza setiap minggu bagi menguji kebolehan dan kesabaran mereka memasak di bawah tekanan.
Dapur Tempur dibawakan oleh penaja bersama Panasonic, dan NONA, manakala MyResipi selaku rakan digital rasmi.
Juaranya bakal memenangi hadiah wang tunai RM6000 berserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk NONA selama setahun manakala naib juara bakal memenangi hadiah wang tunai RM4000 dan periuk nasi IH Panasonic.
Pemenang mingguan pula bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500 ringgit tajaan NONA manakala pemenang cabaran NONA dalam episod-episod tertentu membawa pulang hamper produk NONA bernilai RM1,000.