KUALA LUMPUR: Konsert Billie Eilish yang julung kalinya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, hangat diperkatakan apabila ada di antara peminat penyanyi popular itu sanggup hadir awal pagi demi menyaksikan idola mereka beraksi depan mata.
Melalui rakaman video di TikTok, sekumpulan remaja sanggup bersengkang mata dan dan datang seawal jam 5 pagi untuk beratur dan mengambil giliran. Ramai peminat Eilish mula berkumpul di laluan tiket bagi mendapatkan lokasi terbaik terutama bagi pemegang tiket tanpa tempat duduk atau zon berdiri.
Malah, ada yang sanggup mengambil cuti dan berpanas lebih 10 jam sebelum konsert bermula.
Namun rata-rata penonton yang membeli tiket dengan harga yang mahal meluahkan rasa tidak berpuas hati berikutan jarak pentas dan tempat duduk yang sangat jauh.
Pentas yang jauh juga menyebabkan ada penonton yang meminta pihak penganjur menyediakan teropong untuk melihat dengan lebih jelas persembahan Eilish.
Antara yang menyuarakan rasa tidak puas hati, personaliti media sosial, Khairul Aming dan Azfar Heri.
Menurut Azfar Heri, ini adalah kali pertama dia berasa tidak berpuas hati ketika menghadiri konsert. Katanya, harga tiket yang dibeli agak mahal dan perasaannya ketika itu seperti menonton perlawanan bola sepak sahaja.
Menurut Khairul Aming, sistem audio juga tidak berfungsi dengan baik dan penonton tidak dapat mendengarnya dengan jelas semalam.
Rata-rata netizen berharap perkara itu tidak berulang lagi dan meminta supaya konsert-konsert artis popular dari dalam negara dan luar negara tidak akan berlangsung di stadium berkenaan lagi.
Sementara itu, kawasan perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil juga dipenuhi dengan sampah sarap seperti botol air, beg plastik, dan bungkusan makanan.
Keadaan itu turut dikongsi netizen mengenai sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung yang beratur sejak awal pagi untuk menunggu waktu mereka dibenarkan masuk ke dalam stadium.