Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja menghidangkan persembahan nyanyian, malah penonton juga umpama ‘dipukau’ untuk menelusuri kembali zaman persekolahan.
Artis terkenal Indonesia, Melly Goeslaw berjaya menghiburkan peminat Malaysia di konsert ‘Ada Apa Dengan Melly’ di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 & 4 Februari dengan menyanyikan lebih 20 buah lagu!
Ada Apa Dengan Cinta, Denting, Menghitung Hari, Gantung dan Ketika Cinta Bertasbih antara lagu yang didendangkan oleh penyanyi itu.
Lebih mengasyikkan, Melly turut membawakan lagu kenangan dari seniman Allahyarham P. Ramlee dengan turut menampilkan cucu perempuan insan agung dalam industri seni itu.
Melly juga kreatif bermain emosi bersama peminat dengan bukan sahaja menyanyikan lagu nyanyiannya, malah lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh orang lain turut dipersembahkan seperti Pencinta Wanita dan Cinta Sejati.
Bukan itu sahaja, penghibur seni itu yang merupakan pencinta tegar haiwan turut menampilkan kucing yang tular seantero dunia, Yoyo, yang dibawakan khas dari Pulau Pinang.
‘Ratu Soundtrack’ itu juga turut bijak dengan mengajak penonton berinteraksi untuk mencipta lagu bersama-sama kerana dia membawa watak sebagai cikgu muzik pada malam konsert ulungnya itu.
Riak wajah gembira dan kepuasan jelas terpancar pada penonton yang menghadirkan diri ke konsert sempena meraikan tiga dekad pembabitan Melly dalam industri muzik.
Selebriti popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search, Datuk M. Nasir, Nur Fazura, Fattah Amin, Wany Hasrita dan Amira Othman juga tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert ulung Melly Goeslaw itu.
Konsert itu juga dihadiri tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan berpakaian sekolah.