KUALA LUMPUR: Shuib yang juga Pelawak dan penyampai radio, 39, menegaskan dia akan meneruskan saman terhadap individu yang menfitnahnya di media sosial, bulan lepas.
Menurutnya kepada pihak media, apa dilakukan bukan untuk kepentingan diri malah melihatkan isu itu lebih kepada satu tanggungjawab terhadap masyarakat bagi memastikan tiada individu yang sewenang-wenangnya merosakkan keharmonian dengan budaya menfitnah.
“Saya ingin maklumkan peguam saya, Syed Afiq Syed Albakri dari Tetuan Zharif Nizamuddin telah memfailkan saman bagi pihak saya terhadap seorang individu yang memfitnah saya melalui media sosial.
“Saya ingin tegaskan saman fitnah ini bukan hanya untuk kepentingan saya sebagai seorang individu, tetapi ia adalah langkah proaktif untuk melawan fitnah yang tidak melambangkan budaya rakyat negara ini,” katanya.
Writ saman telah dihantar peguam termasuk penyataan tuntutan terhadap defendan, Md. Johan Dihani Mohd. Zaini kepada mahkamah, semalam.
“Hari ini kami sudah terima abstrak dari mahkamah, kes sudah difailkan dan hanya tinggal serahan kepada defendan melalui peguam caranya,” jelasnya.
Julai lalu, individu yang memfitnah Shuib, John Dihani membuat permohonan maaf secara terbuka selain berharap bertemu pelawak itu.
John Dhani turut mengakui kesilapan dilakukan menerusi hantaran di instagram dengan memuat naik poster iklan barang kemas dan menurunkan komen yang menjerumus ke arah fitnah.
Shuib dalam pada itu, turut memberi amaran kepada individu lain yang juga menabur fitnah terhadap dirinya termasuk Allahyarham isteri, Siti Sarah Raisuddin mengenai penglibatan mereka dengan organisasi Freemason.