KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menyerahkan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan penyebaran berita palsu mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah.
Menurut Siti, dia tidak menyangka ada individu atau pihak yang berani membuat suntingan menggunakan nama dan gambar profil yang diambil di Facebook (FB) semata-mata untuk mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
“Saya tidak sangka boleh keluar (berita palsu) dan orang berani buat suntingan sebegitu. Sebab kalau mahu kata ada orang godam, memang tiada apa-apa hantaran seperti itu dalam FB saya.
“Pelaku memang buat suntingan sendiri untuk mengeluarkan berita palsu seperti itu. Jadi, saya serahkan kepada pihak berwajib memandangkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga sudah mengeluarkan kenyataan dan akan mengambil tindakan,” katanya kepada BH Online.
Mengakui terkilan dengan perkara itu, Siti berkata, dia masih berhati perut dan hanya menyerahkan siasatan kepada pihak berwajib supaya dapat dikekang pada masa akan datang.
“Apabila perkara ini terjadi memang rasa terkilan dan sedih, tetapi tidak mengapa sebab mungkin dahulu saya hanya selalu memberi amaran sahaja terutama dalam media sosial.
“Saya masih berhati perut dalam perkara ini. Apabila menteri sendiri sudah mengutarakan perkara ini, jadi saya serahkan kepada pihak berwajib,” katanya ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Global Station Sdn Bhd di Kemensah Heights, Ampang, semalam.