comscore
Tumpuan :
Hiburan

Kami ambil iktibar atas khilaf berlaku – Norman Hakim

Foto: @normanhakim_786/Instagram

KUALA LUMPUR: Setelah beberapa hari mengambil pendirian untuk mendiamkan diri, akhirnya pelakon Norman Hakim tampil menjawab kontroversi membabitkan anak keduanya, Marissa Dania Hakim, 18, yang dikaitkan sebagai penyondol hingga memusnahkan rumahtangga individu tertentu.

Norman menerusi hantaran di Instagram (IG), menyifatkan kes berkenaan sebagai satu pengajaran buat mereka sekeluarga dan meluahkan rasa syukur apabila isu yang berlanjutan sejak beberapa hari lalu dapat diselesaikan secara tertutup.

Artikel berkaitan: “Saya mengaku ada yang benar, ada juga tidak benar” – Marissa Dania Hakim

“Terima kasih kepada mereka yang prihatin atas ujian buat keluarga saya, baru-baru ini.

“Insya-Allah, gerak hati dari-Nya untuk diselesaikan secara tertutup. Kami ambil iktibar atas khilaf berlaku,” tulisnya.

Dalam perkembangan sama, pelakon Tiga Janda Melawan Dunia itu berlapang dada terhadap segala kritikan warganet berhubung kontroversi yang menimpa anak gadisnya itu.

Foto: @normanhakim_786/Instagram

“Mohon doakan yang baik-baik, 75,000 pengikut baharu yang hadir sejak dua tiga hari ini, saya anggap semua sebagai sahabat ukhuwah dan silaturahim yang harus saya sambut sebagai tetamu dengan penuh berhemah.

“Saya gembira baca komen anda semua. Komen yang mungkin berbaur emosi dan kebencian, saya anggap itu semua sebagai teguran baik untuk saya dan keluarga perbaiki kelemahan serta khilaf kami,” luahnya.

Menerusi perkongsian yang sama, Norman turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan kontroversi itu.

“Ampun maaf kalau ada khilaf, salah dan silap saya seisi keluarga. Yang salah tetap salah dan pintu taubat sentiasa terbuka utk kembali ke jalan-Nya.

“Segala kelemahan datang dari kami dan segala yang baik hanya dari-Nya. Lillahita’ala saya sayang semua.

“Mohon jangan terputus silaturrahim kita,” ungkap suami kepada pelakon Memey Suhaiza ini.

Foto: @normanhakim_786/Instagram

Terdahulu, kecoh dalam media sosial mengenai seorang wanita mendedahkan mengenai gadis berusia 18 tahun yang juga anak kepada pasangan selebriti jadi penyebab keruntuhan perkahwinannya.

Meluahkan perasaan di platform X, Khamis lalu wanita itu mendakwa gadis yang berstatus pempengaruh media sosial dan berimej muslimah itu menjadi penyondol rumah tangga dibina selama tiga tahun.

Tambah memburukkan keadaan, wanita itu turut menampilkan bukti resit dan mendakwa gadis itu kantoi ‘check-in’ bersama bekas suaminya.

Bagaimanapun, Marissa tampil mengaku melakukan kekhilafan menerusi Instagram (IG), namun menutup ruangan komen, semalam.

Marissa juga meminta agar ibu bapanya tidak dipersalahkan sehingga menimbulkan kesan buruk.

Loading...
Terkini