Tumpuan :
Hiburan

Justin Bieber Umum Berehat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Justin Bieber, 28, terpaksa berehat kerana faktor kesihatan dan tidak akan meneruskan konsert siri Jelajah Dunia Justice buat masa sekarang.

Bieber yang sepatutnya turut beraksi di Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini berkata sekarang perlu fokus kepada kesihatan selepas terlalu penat selain diserang strok ringan pada wajahnya awal tahun ini.

“Awal tahun ini, saya dedahkan secara umum bahawa saya menderita Sindrom Ramsey-Hunt di mana sebahagian wajah saya lumpuh. Disebabkan penyakit itu, saya tidak dapat lengkapkan baki Jelajah Justice di Amerika Utara,” katanya.

Penyanyi Peaches itu berkata dia cuba kembali menjalani siri jelajah terbabit baru-baru ini selepas berehat secukupnya namun ternyata masih berdepan masalah kesihatan.

“Selepas berehat dan berunding dengan doktor, keluarga dan pasukan, saya ke Eropah sebagai usaha untuk teruskan siri jelajah itu. Saya beraksi di enam persembahan secara langsung tapi ia benar-benar memberi kesan besar kepada saya.

“Pada hujung minggu lalu, saya beraksi di Rock and Rio dan memberi sepenuh hati kepada peminat di Brazil. Selepas turun pentas, saya merasa kepenatan melampau dan sedar kena jadikan kesihatan sebagai keutamaan sekarang,” katanya.

Bieber juga yakin keadaannya bakal beransur baik selepas mendapat rehat secukupnya nanti.

Menurutnya, dia sangat bangga dapat jayakan siri jelajah itu setakat ini.

Sementara itu, penganjur Live Nation Malaysia masih belum memberi sebarang respon selepas dihubungi Harian Metro sama ada konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur akan diteruskan atau tidak.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini