Karya seni yang dihasilkan dengan rasa tulus serta jujur tentunya akan dapat dirasakan oleh mereka yang menghayatinya.
Berkesempatan bersua muka dan menemu bual penyanyi kelahiran Jogjakarta, Indonesia, Kunto Aji baru-baru ini umpama membuka satu gerbang untuk meneroka isi karyanya.
Memegang kata-kata Jawa, ‘jiwa ketok’, Kunto atau nama sebenarnya Kunto Aji Wibisono percaya bahawa jiwa yang ikhlas akan dapat disampaikan dengan jelas menerusi karya ciptaannya.
“Kalau mengikut kata-kata orang Jawa, seniman itu ‘jiwa ketok’.
Ertinya, seniman itu jiwanya akan terlihat.
Semakin dia jujur terhadap dirinya, maka karyanya juga akan semakin besar.
“Itu yang sering saya lakukan, menelanjangi diri sendiri,” katanya.
Melihat dan mendengar album Mantra Mantra yang pernah diterbitkannya beberapa tahun lalu, Kunto dilihat sebagai seniman yang menerapkan kiasan mengenai kesihatan mental.
Perkara itu diakui penyanyi berusia 35 tahun itu sendiri, di mana pada saat menulis karya itu, dia bermonolog dengan diri sendiri mengenai kesihatan mental.
“Seperti yang saya kongsikan, saya cuba sejujurnya dengan apa yang saya tulis.
Ketika menulis album Mantra Mantra, saya menjalani proses terapi untuk kesihatan mental.
“Akhirnya, Mantra Mantra adalah hasil daripada apa yang dapat saya tulis dan sajikan.
Album itu umpama monolog di mana saya berbicara dengan diri sendiri.
“Dan menariknya, ada orang lain di luar yang dapat merasakan kaitan dengan diri mereka menerusi album itu,” katanya.
Hadir ke Malaysia dan mengadakan konsert yang meraih kejayaan minggu lalu, Kunto membuka pentas dengan mempersembahkan lagu Jakarta Jakarta.
“Mengenai lagu Jakarta Jakarta, perlu saya jelaskan mengenai ‘urip iku urup’ yang membawa maksud, hidup itu nyala.
Itu adalah dualisme yang boleh saya gambarkan sebagai hubungan interpersonal dan intrapersonal.
“Lagu itu saya masukkan sebagai gambaran kepada hubungan interpersonal. Saya dari Jogjakarta (Jogja), merantau ke Jakarta.
Dari ibu kota yang santai di Jogja, saya berhijrah ke Jakarta, kota yang mendidik saya dengan keras,” katanya.
Berkongsi perasaannya selepas mengadakan Konsert Fabulous Friday: Kunto Aji di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, baru-baru ini, Kunto mengakui tersentuh dan ia adalah satu cara yang penuh emosi.
“Ia bukan seperti persembahan biasa kerana ada pelbagai aspek perlu disiapkan daripada senarai lagu sehingga pergerakan segmen ke segmen.
Akhirnya ia dapat dijayakan dan apa yang boleh saya katakan penonton yang hadir semuanya luar biasa.
“Jujur, pada awalnya saya sendiri tidak yakin dengan diri saya. Adakah saya mampu mengadakan konsert dan adakah orang akan beli tiket untuk menonton.
“Ternyata, alhamdulillah semuanya berjaya dijual dan saya berharap berpeluang mengadakan konsert di sini dengan persiapan lebih terperinci,” katanya.
Kejayaan konsert ini juga umpama satu perayaan buat dirinya selepas melalui pelbagai fasa.
“Saya terkejut dan sangat beremosi. Ada banyak perkara membebankan yang saya lewati dalam tahun ini.
Akhirnya ada sesuatu yang saya raikan,” katanya.
Terbaharu, Kunto kini dalam proses menghasilkan album terbaharunya dan tentunya dinanti-nantikan peminat setia. – HARIAN METRO