LONDON: Pelakon British, Joan Plowright, pemenang dua Anugerah Golden Globe dan satu Anugerah Tony, meninggal dunia pada usia 95 tahun, menurut kenyataan keluarga pada Jumaat.
Menurut kenyataan keluarga yang dilaporkan BBC, Plowright menghembuskan nafas terakhir pada 16 Januari dalam keadaan aman, dikelilingi oleh keluarganya.
“Beliau menikmati kerjaya yang panjang dan cemerlang dalam teater, filem, dan televisyen selama tujuh dekad, sehingga masalah buta memaksanya bersara.
“Kami sangat berbangga dengan segala yang telah dilakukan oleh Joan dan siapa dirinya sebagai seorang insan yang penyayang dan inklusif,” kata kenyataan tersebut.
Plowright memulakan kerjaya lakonannya pada 1956 menerusi filem Moby Dick sebelum dikenali lebih luas dalam adaptasi filem 1960 The Entertainer bersama Laurence Olivier, yang kemudiannya menjadi suaminya.
Sepanjang kerjaya yang panjang di pentas dan layar perak, Plowright pernah menerima pencalonan untuk Anugerah Akademi, Emmy, dan dua Anugerah (British Academy of Film and Television Arts) BAFTA.
Antara filem lain yang dibintangi Plowright termasuk Enchanted April, Tea with Mussolini, 101 Dalmatians, dan Drowning by Numbers.
Plowright juga adalah antara pelakon British yang telah dianugerahkan gelaran ‘Dame’ oleh mendiang Ratu Elizabeth II pada 2004 sebagai penghormatan kepada sumbangannya yang luar biasa dalam dunia seni dan budaya British.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.