PETALING JAYA: Portal budaya pop dan hiburan Media Prima, JUICE Malaysia memperkenalkan segmen baharu dalam Bahasa Melayu (BM) dikenali sebagai ‘Ikat Tepi’.
Langkah ini diambil sebagai usaha mendekati khalayak secara lebih meluas dalam landskap digital yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Biarpun dikenali dengan portal yang memaparkan kandungan ‘edgy’ dan tidak berlapis serta sebagai platform utama bagi acara-acara terhangat di Malaysia dan Asia Tenggara, JUICE Malaysia melihat penambahan segmen BM ini sebagai satu langkah strategik yang tepat.
Ketua Editor JUICE Malaysia, Ben Liew berkata, JUICE Malaysia sentiasa berusaha untuk memberi ruang dan peluang kepada semua lapisan masyarakat, sejak dari zaman penerbitan majalah budaya jalanan yang sederhana.
Beliau berkata, keputusan untuk memperkenalkan segmen BM ini turut dipengaruhi oleh peningkatan trend di kalangan artis urban tempatan yang semakin memilih Bahasa Melayu sebagai medium ekspresi utama mereka.
Segmen ‘Ikat Tepi’ akan terus mengekalkan kandungan yang sama dengan versi Bahasa Inggeris, namun dengan penekanan khas terhadap topik yang lebih dekat di hati pembaca BM.
Ini termasuklah hiburan tempatan, pertunjukan seni, festival muzik, tempat menarik untuk dilawati, aktiviti menarik yang boleh dilakukan, tip-tip fesyen, serta penerokaan mendalam dalam kisah menarik daripada perspektif unik Malaysia.
Ditubuhkan pada 2002 sebagai sebuah majalah percuma, JUICE Malaysia kini berkembang menjadi platform dalam talian yang sinonim dengan hiburan terkini di Malaysia.
Dengan perkembangan ini, JUICE terus relevan dalam menyediakan berita, acara, budaya pop, dan gosip harian yang diminati ramai.
Untuk membaca kandungan JUICE Ikat Tepi (BM), klik di sini. Bagi versi asal JUICE Malaysia dalam Bahasa Inggeris, klik di sini.