KUALA LUMPUR: “Saya makan biskut tanpa gula dan minum air tawar sahaja sekarang.” Begitu keadaan pelakon veteran, Maimunah Ahmad, 74, atau lebih dikenali sebagai Mak Jah yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor, sejak Khamis lalu, berikutan masalah kencing manis atau diabetes.
Dramatis yang terkenal dengan watak antagonis itu berkata, buat masa ini, dia perlu dipantau doktor pakar dan menjalani pelbagai rawatan susulan di hospital.
“Saya masih ditahan di hospital dan belum dibenarkan keluar akibat masalah kencing manis yang turun naik.”Kalau diikutkan semalam (Selasa) sudah boleh keluar, tapi saya masih lagi memerlukan rawatan susulan dan dipantau tahap kesihatan oleh doktor pakar.
“Sekarang, keadaan masih sama dan perlu dipantau dengan lebih kerap.”Cuma kena tengok selepas ini bagaimana (tahap kesihatan), mungkin kalau sudah makin baik saya akan dibenarkan pulang,” katanya kepada BH Online.
Mak Jah yang terkenal dengan lakonannya menerusi filem Mami Jarum itu menjelaskan, dia perlu berhati-hati dalam soal pemakanan.
Sehubungan itu, Mak Jah perlu mengelak daripada mengambil makanan atau minuman bergula.”Daripada segi makanan, saya perlu berpantang sekarang.” Makanan bergula langsung tidak boleh disentuh. Selain itu, saya perlu ambil susu diabetes dalam fasa pemulihan sekarang.
“Doktor sudah ambil darah untuk mendapatkan bacaan gula saya pada tahap mana.”Jadi, setakat ini, Alhamdulillah tiada masalah serius,” katanya.
Mak Jah menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang masih sudi mengambil berat dan mendoakan kesejahteraannya. “Terima kasih semua yang mengambil berat dan sentiasa mendoakan saya.
“Saya perlu banyakkan berehat atas nasihat doktor sekarang, jadi, doakan saya,” katanya.