Tumpuan :
Dunia Seni

Hafiz, Nureffey tak tinggal sebumbung, dalam proses bercerai

Hafiz dan Nureffey masih lagi bergelar suami isteri, namun tidak lagi tinggal sebumbung kerana dalam proses perceraian.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip akhirnya mengakui rumah tangga dengan isteri, Nureffey Jasreel Abdullah sedang dilanda badai dan kini dalam proses perceraian.

Pendedahan dibuat penyanyi lagu Awan Nano menerusi program hiburan Melodi di TV3, semalam.

Hafiz, 35, berkata, mereka masih lagi bergelar suami isteri, tetapi tidak lagi tinggal sebumbung kerana dalam proses perceraian.

“Kami masih lagi suami isteri, tetapi tidak lagi tinggal bersama kerana dalam proses perceraian. Kami juga sedang dalam proses rundingan hak penjagaan dua cahaya mata.

“Saya nak selesaikan dengan cara baik tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan saya akan simpan untuk diri sendiri bila prosiding mahkamah akan berlangsung,” katanya.

Penyanyi asal Sarawak itu mengakui, trauma dengan kemelut rumah tangga berlaku kerana menyangka hubungan dibina akan kekal bahagia.

“Saya nak yang terbaik, kalau tidak ada persefahaman, saya nak lepaskan dengan cara baik. Ini kerana saya tak nak rumitkan keadaan dan tak mahu anak-anak menjadi mangsa.

“Tidak kira apa yang berlaku, kena jaga anak dan saya tak nak seksa mereka. Kami akan terangkan dengan baik.

“Kita hanya manusia biasa, saya sudah cuba yang terbaik dan selebihnya saya serah kepada Allah,” katanya.

Menurut Hafiz lagi, dia tidak berniat merahsiakan mengenai perpisahan dengan isteri, tetapi perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.

“Saya percaya setiap orang ada masalah dalam hidup. Prinsip saya hanya satu, berkongsilah perkara baik.

“Saya mengaku menghadapi masalah, tapi tak perlulah bercerita dengan semua orang. Saya tahu cerita ini akan mendatangkan aib untuk sesetengah pihak,” katanya.

Ditanya mungkin kehadiran pihak ketiga menjadi punca perpisahan, Hafiz berkata, pihak ketiga bukan bermaksud suami isteri curang.

“Campur tangan pihak ketiga kadang kala boleh berpunca daripada keluarga sendiri. Apapun, jangan campur tangan dalam soal rumah tangga orang lain tak kiralah keluarga atau kawan-kawan,” katanya.

Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini