LIVERPOOL: Sebuah gitar elektrik milik George Harrison, gitaris kumpulan legenda The Beatles, dijangka dilelong bulan depan dan dianggarkan mencapai harga lebih daripada AS$800,000 (RM3.7 juta).
Gitar jenis Futurama yang dibeli dari sebuah kedai muzik di Liverpool ini dimainkan oleh Harrison pada awal 1960-an, ketika The Beatles membuat persembahan di kelab Cavern dan sewaktu mengadakan siri jelajah konsert di Jerman.
Gitar tersebut dengan corak sunburst merupakan salah satu instrumen yang paling kerap digunakan oleh Harrison dan dianggap sebagai salah satu gitar berharga dalam koleksi instrumen muzik The Beatles.
Mendiang Harrison pernah menyatakan bahawa gitar itu agak sukar untuk dimainkan, namun tertarik dengan reka bentuknya yang kelihatan futuristik dan mampu menghasilkan bunyi yang berbeza pada ketika itu.
Pada tahun 1964, Harrison menghadiahkan gitar itu kepada sebuah majalah rock sebagai hadiah pertandingan.
Namun, pemenang pertandingan tersebut memilih hadiah wang tunai, menyebabkan gitar itu kekal bersama editor majalah berkenaan.
Gitar tersebut kini dipamerkan di pameran The Beatles Story di Liverpool selama dua minggu, sebelum dibawa ke beberapa muzium lain di Eropah. Ia akan dilelong di Amerika Syarikat pada 20 hingga 22 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.