Tumpuan :
Dunia Seni

FINAS akui wujud elemen ‘lobi’, nafi unsur sogokan juri Oscar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, mengakui wujud elemen melobi terhadap juri Anugerah Akademi (Oscar) seperti yang didakwa oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi.

Namun, beliau menolak dakwaan bahawa terdapat unsur sogokan.

“Istilah melobi sebenarnya merujuk kepada promosi dan rangkaian perhubungan awam dengan juri Oscar. Unsur sogokan, saya rasa tiada. Melobi bertujuan memastikan filem yang dihantar mendapat perhatian juri,” katanya seperti dilaporkan oleh BH Online.

Menurut Azmir, dengan lebih 100 filem menghantar penyertaan ke Oscar setiap tahun, adalah mustahil bagi para juri menonton semua filem tersebut tanpa usaha proaktif daripada pihak produser.

“Difahamkan, ada sekitar 80 juri untuk pelbagai kategori. Mereka mungkin tidak pernah menonton filem yang masuk bertanding. Di sinilah peranan wakil ejen berpengalaman merangka strategi promosi, bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS) tetapi seluruh dunia,” jelasnya.

Azmir turut menekankan bahawa proses melobi melibatkan sesi tayangan khas untuk media massa, pengkritik filem AS, dan rangkaian strategik, yang memerlukan kos tinggi.

“Produser biasanya perlu mengeluarkan perbelanjaan antara RM200,000 hingga RM1 juta. Wakil ejen berpengalaman tahu siapa yang perlu diundang, tetapi proses ini mahal.

“Proses ini ada beberapa peringkat. Selepas penyertaan dihantar, kempen promosi sudah boleh dimulakan. Apabila berjaya mara ke peringkat seterusnya, kempen tambahan perlu dilakukan hingga filem masuk ke senarai Top 5. Semua ini memerlukan kos besar,” tambah Azmir.

Terdahulu, Burhanuddin mendakwa wujud elemen sogokan dan melobi sewaktu membawa filem animasi Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal ke pencalonan awal Oscar ke-92 bagi kategori Filem Animasi Rencana Terbaik pada 2020.

Filem tersebut terpilih dalam senarai 32 yang layak bertanding tetapi tewas kepada animasi Korea Selatan yang difahamkan membelanjakan RM8.9 juta untuk tujuan promosi senarai pendek Oscar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini