JOHOR BAHRU: Dakwaan filem Anwar: The Untold Story disabotaj, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mulakan siasatan.
Filem yang memaparkan naskhah biopik yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menulakan tayangannya Khamis lalu.
Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching, berkata semua aspek dakwaan itu akan diteliti sebelum siasatan segera dilakukan.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya juga masih belum menerima maklum balas dan laporan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).”KKD akan buat siasatan sama ada tuduhan itu adalah benar atau sebaliknya.
“Namun saya percaya, lagi ramai penonton yang berminat menyaksikan filem ini sudah tentu lagi banyak slot tayangan dan pawagam akan tayang filem ini,” katanya.
Ahad lalu, produksi filem Anwar: The Untold Story dilaporkan mendakwa sesetengah pawagam di negara ini mensabotaj tayangan filem berkenaan.
Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran penerbit apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation itu didakwa tidak mendapat slot tayangan banyak sehingga mengecewakan penonton.
Bagaimanapun Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) semalam dilaporkan menafikan dakwaan pihaknya mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan di 124 pawagam negara.
MAFE dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan selain sentiasa memberi sokongan kepada perkembangan industri perfileman negara.