KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini, pagi ini bagi sebutan pertama permohonan rujuk dan perceraian mereka.
Diana, 33, yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.19 pagi dengan persalinan jubah hitam ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir, berharap prosiding hari ini dipermudahkan.
Akberdin berkata, prosiding hari ini diteruskan dengan rujuk disusuli proses cerai.
“Kita akan teruskan dengan rujuk dan lihat kepada keputusan hakim berkenaan cerai. Kedua-dua belah pihak perlu hadir,” katanya ditemui di perkarangan mahkamah, pagi ini.
Sementara itu, Farid, 43, yang tiba beberapa minit selepas itu diiringi peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berharap segala urusan dipermudahkan.
“Semoga yang baik-baik sahaja hari ini… Insya-Allah,” katanya memetik laporan BH Online.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.
Permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Pasangan itu kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Farid masih mahu mempertahankan rumah tangga dan menyayangi Diana dan anak-anaknya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun, rujuk kembali sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.