KUALA LUMPUR: Demi perkasakan penguasaan bahasa Melayunya, komposer Ezra Kong, 34, menggunakan khidmat beberapa pakar bahasa bagi memastikan ayat-ayat dipakai untuk lirik dihasilkan adalah tepat.
Ezra mengakui masih banyak perlu diperbaikinya memandangkan dia sendiri tidak membesar dengan lagu-lagu Melayu, namun bersyukur mendapat tunjuk ajar berterusan daripada pakar bahasa Melayu dan rakan artis lain.
“Saya suka membaca dan ada beberapa orang guru bahasa Melayu yang betulkan kerja-kerja saya sebelum siapkan demo. Itu saya tak nak cakap siapa, tapi memang merekacpakar bahasa Melayu.
“Belajar bahasa Melayu pada mulanya susah juga. Tapi, saya cuba paksa diri dengar lagu Melayu setiap hari. Saya mulakan dengan memahami, sayang bahasa dan melodi itu, kemudian barulah boleh buat lagu.
“Paling banyak mengajar saya lagu-lagu dan melodi bahasa Melayu sebenarnya adalah Hael Husaini. Dia yang tunjukkan saya melodinya dan memang ia berbagai bentuk,” katanya.
Terdahulu, Ezra ditemui pada malam Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2022 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Berkat kejayaan pelbagai karya muzik hasil sentuhannya yang melebihi 100 setakat ini, dia berjaya menerima trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi di acara pengiktirafan terpenting industri muzik tempatan itu.
Menurut Ezra, dia mendedikasikan kemenangan terbabit buat semua pihak yang pernah bekerja dengannya. Bahkan dia sebenarnya tidak sangka dapat menewaskan Datuk M Nasir kali ini.
“Beliau (M Nasir) adalah idola saya. Saya banyak kaji lagu-lagu ciptaannya. Saya anggap apa yang dihasilkan sekarang adalah penambahbaikan dari lagu-lagu sebelum ini. Orang-orang terdahulu sudah mencipta satu kerja yang sangat baik.”Kemenangan saya ini bukanlah kerana hasil kerja seorang saja, tapi ramai lagi yang bersama saya,” katanya.
Sudah merangkul pelbagai anugerah sejak aktif dalam industri muzik bermula 2012 lalu, Ezra akui pencapaian diraih setakat ini memang sangat melebihi jangkaannya.”Memang puas dengan apa yang saya capai sekarang ini.
Ketika awal aktif dalam muzik saya hanya fikir ‘cukup makan’ saja. Tak sangka boleh sampai ke tahap begini.”Semua anugerah yang diterima ini adalah satu tanggungjawab untuk saya perbaiki diri kerana sebelum ini saya ambil masa terlalu lama untuk menyiapkan sebuah lagu bahasa Melayu,” katanya.