Tumpuan :
Hiburan

Emak dan karier jadi keutamaan Azhan Rani

Foto Instagram Azhan Rani

KUALA LUMPUR: Enggan terlalu memikirkan soal jodoh, sebaliknya menjadikan ibu yang sedang uzur dan karier lakonan sebagai keutamaan hidup ketika ini.

Aktor Azhan Rani, 47 yang terkenal sebagai pelakon serba boleh ini mahu menyerahkan kepada ketetapan Ilahi untuk urusan hidupnya.

“Sebenarnya, saya tidak pernah fikir soal itu (jodoh) kerana ada komitmen sebagai pelakon dan emak juga uzur.

“Disebabkan saya tidak ada komitmen keluarga sendiri, saya ada lebih banyak masa untuk jaga emak berbanding adik-beradik lain yang sudah berkeluarga… Itu adalah tanggungjawab saya sebagai anak.

“Ini semua Allah yang akan tentukan. Mungkin ada masa jodoh sampai, saya terima sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Azhan menerima banyak lamaran berkahwin daripada individu tidak dikenali dalam media sosial.

“Ada sahaja yang tiba-tiba mesej dalam media sosial ajak kahwin. Saya agak terperanjat, tetapi, saya jawab cara baik.

“Kalau ada yang betul-betul serius, mungkin saya boleh fikirkan. Saya tidak kenal orang yang mesej itu. Jadi, saya tidak tahu sama ada dia serius atau tidak… Saya jawab sahaja,” katanya ditemui selepas sesi pratonton filem Tebus di sini, semalam.

Ditanya ciri wanita idamannya, Azhan hanya mengharapkan individu itu mampu menerima semua kekurangannya.

“Berkenaan ciri-ciri, apa yang penting dia boleh terima saya seadanya. Saya juga tidaklah terlalu sempurna untuk terlalu memilih,” katanya.

Terbaharu, Azhan menjayakan watak antagonis bernama Bakar dalam filem Tebus yang disiarkan di platform Prime Video, mulai hari ini.

Selain Azhan, filem terbitan Vian Media Sdn Bhd itu menampilkan Aedy Ashraf dan Ahirine Ahirudin sebagai tunjang utama.

Tebus turut membariskan Idan Aedan, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.

Tebus memaparkan kisah pengawal keselamatan, Johan lakonan Aedy yang menculik pewaris barangan kemas, Ana (Ahirine) untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil (Idan).

Akibat terdesak, Johan melakukan perbuatan jahat itu.

Namun, perancangannya tidak lancar apabila bapa tiri Ana, iaitu Bakar (Azhan) tidak mahu membayarnya sesen pun selepas melakukan penculikan.

Loading...
Terkini