Tumpuan :
Hiburan

Drama Dialek Sarawak ‘Tilit-Tilit Cinta’ Pertama Di Netflix

Drama bersiri 13 episod ‘Tilit-Tilit Cinta’ kini ditayangkan di Netflix.

KUALA LUMPUR : Tilit-Tilit Cinta mencipta sejarah apabila menjadi drama dialek Sarawak pertama ditayangkan menerusi platform penstriman, Netflix, baru-baru ini.

Diedarkan MyContent Distribution, drama bersiri 13 episod terbitan Vian Media itu adalah adaptasi teater Latiff vs Maryam, karya asal Arshad Adam.

Pembikinan drama bersiri berkenaan dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Dana Kandungan Digital (DKD).

Drama Tilit-Tilit Cinta antara sembilan penerima DKD melalui program TVS Pitch It Siri 1/2020. Ia juga sudah ditayangkan menerusi TVS (saluran 122) Astro dan MYTV, tahun lalu.

Pengarah Urusan MyContent Distribution, Lyn Nasihin berkata, matlamat utama untuk mengembangkan industri kreatif dengan mengedarkan karya tempatan ke platform penstriman global.

“Ia juga bertujuan menggalakkan lebih syarikat produksi tempatan menghasilkan karya yang boleh menembusi pasaran tontonan antarabangsa seperti drama Tilit-Tilit Cinta,” katanya yang juga anak jati Sarawak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Rizal Zulkapli berkata, permohonan TVS Pitch-It Siri 2/2022 sudah sudah ditutup pada 20 Oktober lalu.

“Ia sebagai galakan pemain industri terus berkarya, selain memberi peluang penggiat kandungan kreatif mengetengahkan pelbagai idea baharu,” katanya.

Tilit-Tilit Cinta arahan Josh Nawan mengetengahkan kisah percintaan romantik dan komedi, Ujang dan Merry lakonan Haziq Fadhullah dan Dee Dee A’iene.

Selain itu, Tilit-Tilit Cinta turut dibintangi Kahar Jini, Yana Melanos dan Javenson Serit.

Manakala, lagu tema berjudul If You Don’t Love Me Now ciptaan Farouk Kamil dan didendangkan oleh Steff Fleur.

Kesemua pelakon, penyanyi dan komposer mengetengahkan bakat anak jati Sarawak. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini