Tumpuan :
Dunia Seni

Dari set SeOfis ke pentas global: Siti Saleha raih pengiktirafan tertinggi di Korea

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Pelakon Siti Saleha melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaannya memperoleh Trofi Outstanding Asian Star menerusi Seoul International Drama Awards.

Kejayaan Siti Saleha itu diumum petang tadi selepas dicalonkan menerusi drama Tonton Original Series berjudul SeOfis yang ditayangkan di platform digital itu Januari lalu.

“Saya sangat bersyukur atas pengiktirafan ini dan saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada Tonton dan TV3 Malaysia kerana sentiasa menyokong hasil kerja saya.

“Memenangi trofi ini untuk ‘SeOfis’ adalah impian yang menjadi kenyataan, dan membawa pulang kemenangan pertama Malaysia dalam kategori ini sejak 2017 adalah kemenangan yang sangat membanggakan,” katanya.

Kemenangan itu bukan sahaja meningkatkan pencapaian karier Siti Saleha, malah industri hiburan negara secara keseluruhan.

Kejayaan itu turut membuka lembaran baru untuk Siti Saleha, yang berharap agar terus melakar lebih banyak pencapaian di peringkat antarabangsa.

Seoul International Drama Awards diperkenalkan sejak tahun 2015 berperanan mempromosikan kepelbagaian budaya melalui drama, dan kini menjadi platform global yang meraikan bakat-bakat dari seluruh dunia.

Trofi Outstanding Asian Star ditentukan melalui proses undian secara global dan kategori ini menampilkan tujuh pemenang daripada 6 negara iaitu Korea Selatan, Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini