comscore
Tumpuan :
Dunia

Cukup 13 tahun dengan YG, Jennie BLACKPINK buka agensi sendiri

Jennie, 27 tahun menyertai YG Entertainment ketika berusia belasan tahun – Foto: Jennie/Instagram

SEOUL: Selepas 13 tahun, penyanyi dan rapper K-pop, Jennie memutuskan untuk bergerak sendiri dan bukan lagi bersama agensi YG Entertainment.

Jennie yang sinonim dengan kuasa besar K-pop, BLACKPINK, adalah anggota pertama kumpulan itu yang menyertai YG ketika berusia 14 tahun.

Meskipun BLACKPINK masih bernaung di bawah YG untuk aktiviti berkumpulan, karier solo Jennie kini diuruskan oleh Oddatelier (OA).

Dalam hantaran di media sosial, rapper berusia 27 tahun itu memaklumkan akan memulakan perjalanan solonya bersama agensi yang ditubuhkannya sendiri.

Foto: Jennie/Instagram

“Tahun ini telah dipenuhi dengan pelbagai pencapaian dan saya bersyukur dengan semua kasih sayang serta sokongan yang diterima,” katanya.

“Saya juga teruja dengan apa yang mendatang pada 2024, untuk memulakan perjalanan karier solo bersama syarikat yang saya tubuhkan bernama OA.”

BLACKPINK ketika menerima anugerah Members of the Order of the British Empire (MBE) di Buckingham Palace, London – Foto: Reuters

Jennie turut meminta peminat untuk menyokong permulaan baharu itu, selain terus mendokong BLACKPINK.

Menurut laporan, laman web rasmi OA hari ini mengalami gangguan kerana menerima jumlah trafik yang tinggi, berikutan keterujaan peminat.

Dalam pada itu, tiga lagi anggota BLACKPINK; Lisa, Jisoo dan Rose  belum menentukan sama ada akan menyambung kontrak solo bersama YG.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini