Tumpuan :
Dunia Seni

Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Abang Adik dipilih wakili negara ke Itali

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang dihasilkan dengan kerjasama Maritim Malaysia mencapai kejayaan ‘box office’ apabila meraih RM5 juta dalam tempoh dua minggu tayangan, Februari lalu. – FOTO: Ihsan Penerbit Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang

KUALA LUMPUR: Penganjur festival filem Asia terbesar di Eropah, Udine Far East Film Festival (FEFF) memilih filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang dan Abang Adik untuk dipertandingkan, pada edisi ke-25 acara itu, mulai 21 April ini.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Haniff bakal mencipta sejarah apabila dipertontonkan buat kali pertama di Festival Filem Antarabangsa pada FEFF yang dianjurkan di Udine, Itali, kelak.

Karya filem yang dihasilkan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencapai kejayaan ‘box office’ apabila meraih RM5 juta dalam tempoh dua minggu tayangan, Februari lalu.

Terdahulu, Abang Adik yang menjadi filem cereka pertama dihasilkan Jin Ong, meraih dua trofi pada Fribourg International Film Festival (FIFF) Ke-37.

Rakan festival FEFF, iaitu Malaysia International Film Festival (MIFFest) mengumumkan penyertaan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang dan Abang Adik pada FEFF Ke-25.

Pengasas MIFFest, Joanne Goh, berkata pihaknya berbesar hati kedua-dua filem berkenaan terpilih untuk dipertandingkan pada FEFF.

“Penyertaan ini dianggap suatu keistimewaan bagi filem Malaysia untuk menerima pengiktirafan FEFF. Selepas dua tahun perkongsian dengan FEFF ini, kami harap dapat terus membina hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Itali,” katanya.

Abang Adik yang menjadi filem cereka pertama dihasilkan Ong, meraih dua trofi pada FIFF Ke-37. – FOTO: Ihsan Penerbit Filem Abang Adik

Goh berkata, MIFFest dan FEFF terus bekerjasama bagi meningkatkan pencapaian industri filem dan bertujuan mempromosikan konsep ‘From East to West’ (dari timur ke barat).

Sementara itu, pengarah FEFF, Sabrina Baracetti, berkata pihaknya mencapai kejayaan memberangsangkan pada tahun pertama kerjasama yang terjalin dengan MIFFest.

“Tahun ini matlamat kami adalah untuk mewujudkan jambatan budaya antara Malaysia dan Eropah serta menggunakan budaya sebagai alat untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai dunia,” katanya.

Coast Guard Malaysia: Ops Helang berkisar kehidupan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia iaitu Leftenan Maritim Hafiz lakonan Saharul Ridzwan yang mahu memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau selepas mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD).

Manakala, filem Abang Adik yang menampilkan Wu Kangren dan Jack Tan berkisar liku dilalui dua beradik yang juga anak yatim, dalam meniti kehidupan di Malaysia.

Loading...
Terkini