comscore
Tumpuan :
Dunia

BLACKPINK perbaharui kontrak kumpulan bersama YG

BLACKPINK ketika menerima anugerah Members of the Order of the British Empire (MBE) di Buckingham Palace, London baru-baru ini – Foto: Reuters

SEOUL: Tanda-tanya mengenai masa depan BLACKPINK akhirnya terjawab, apabila kuasa besar K-pop itu disahkan melanjutkan kontrak dengan agensi YG Entertainment.

Menurut YG, kesemua pihak terlibat telah mencapai kata sepakat untuk memperbaharui kontrak BLACKPINK untuk aktiviti berkumpulan.

Ini bermakna, YG akan terus menguruskan aktiviti berkaitan muzik, konsert dan promosi kumpulan empat anggota itu.

Bagaimanapun agensi masih dalam perbincangan dengan setiap anggota BLACKPINK; Jennie, Jisoo, Rose dan Lisa untuk kontrak individu.

“Saya gembira kerana syarikat ini dapat meneruskan hubungan dengan BLACKPINK,” kata Yang Hyun-suk, pengasas syarikat berkenaan.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu BLACKPINK untuk lebih bersinar dalam pasaran muzik global.

Susulan itu juga, saham-saham YG Entertainment melonjak sehingga 29 peratus dalam dagangan di KOSDAQ hari ini.

Nilai saham YG telah menunjukkan trend penurunan, sejak kontrak eksklusif tujuh tahun kumpulan mega hit itu berakhir Ogos lalu.

BLACKPINK menamatkan konsert Born Pink pada September lepas, setelah membuat lebih 60 persembahan di seluruh dunia termasuk Malaysia, selama setahun.

Loading...
Terkini