Tumpuan :
Dunia Seni

Beyonce muncul penyanyi paling banyak tercalon dalam sejarah Anugerah Grammy

Beyonce mendahului senarai pencalonan Anugerah Grammy Ke-67 dengan 11 pencalonan, sekali gus menjadi penyanyi paling banyak dicalonkan dalam sejarah dengan jumlah keseluruhan 99 pencalonan. – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Bintang R&B dan pop, Beyonce mendahului senarai pencalonan Anugerah Grammy Ke-67 dengan 11 pencalonan, tahun depan.

Ia sekali gus menjadikan Beyonce penyanyi paling banyak dicalonkan dalam sejarah penganjuran anugerah berprestij itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 99 pencalonan.

Ini bermakna penyanyi berusia 43 tahun itu berjaya mengatasi suaminya, bintang rap, Jay-Z yang menerima sebanyak 88 pencalonan sepanjang pembabitannya dalam Anugerah Grammy.

Kejayaan Beyonce sebagai penyanyi paling banyak dicalonkan hadir menerusi album terbaharu, Cowboy Carter dilancarkan Mac lalu.

Album menduduki carta teratas itu menerima pencalonan untuk kategori Album Terbaik dan Album Country Terbaik, manakala lagu Texas Hold ‘Em nyanyiannya dicalonkan untuk Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik.

Walaupun memenangi anugerah terbanyak sepanjang kariernya, Beyonce masih belum memenangi kategori Album Terbaik.

Dengan pengiktirafan merentasi pelbagai genre seperti pop, country, Americana dan rap, ramai yang meramalkan Beyonce mungkin memenangi trofi berkenaan untuk Anugerah Grammy Ke-67.

Sementara itu, penyanyi dan penulis lagu, Taylor Swift mendapat tujuh pencalonan dalam kategori album menerusi The Tortured Poets Department.

Tahun lalu, Swift memenangi kategori Album Terbaik menerusi album Midnights.

Anugerah Grammy Ke-67 bakal diadakan di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 2 Februari tahun depan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini