Tumpuan :
Hiburan

Bergelar Datin, suami tak halang Intan Najuwa berlakon

KOTA TINGGI: Memilih usahawan berusia 39 tahun, Datuk Ahmad Azraf Azman sebagai teman hidup pada majlis pernikahan di sebuah resort mewah di Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu, pelakon Intan Najuwa, 26, mahu terus aktif dalam dunia seni biarpun sudah berstatus isteri.

Pelakon telefilem Sempurna Mencintaimu ini memberitahu, Ahmad Azraf tidak menghalang dirinya terus berlakon dan mengukuhkan kedudukan di pentas seni.

Artikel berkaitan: Intan Najuwa sah isteri Datuk Azraf, hantaran RM222,000

“Soal kerjaya, sebelum kahwin atau selepas bernikah, sama sahaja.

“Azraf tidak pernah halang saya bekerja atau buat apa-apa. Suami sangat memahami dan menyokong apa sahaja yang saya buat,” katanya ditemui selepas majlis akad nikah di sebuah resort di Desaru Coast, Kota Tinggi, Jumaat lalu.

Selepas lama berteka-teki, akhirnya, Intan memilih hari kelahirannya, Jumaat lalu, untuk disatukan dengan Azraf.

Dengan sekali lafaz, Intan atau nama sebenar, Intan Najuwa Abd Wahid, sah menjadi isteri Ahmad Azraf pada majlis pernikahan romantis berlatar belakangkan panorama lautan di sebuah resort di Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor.

Pasangan mempelai itu dinikahkan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut pada jam 6.45 petang.

Pada majlis itu, Intan menerima mas kahwin RM20,000 dan wang hantaran bernilai RM222,000.

Difahamkan, angka dua diambil sempena simbolik kepada tempoh perkenalan pasangan dua sejoli itu yang memasuki tahun kedua.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pengantin perempuan.

Intan berkata, beliau dan suami belum merancang berbulan madu berikutan perlu kembali bekerja selepas bernikah.

Ditanya mengenai cahaya mata, Intan berkata, mereka tidak merancang, sebaliknya menerima sahaja takdir dan rezeki Allah.

“Kita tidak akan rancang, jika ada, adalah. Jika tiada, tidak mengapa. Ada rezeki, tidak kisah, bila-bila, kami sentiasa terima,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Azraf yang agak pemalu menyifatkan Intan sangat manis dan bertanggungjawab, apatah lagi dalam menjaga keluarga dan adik-beradik.

Loading...
Terkini