comscore
Tumpuan :
Hiburan

Bella mahu rai kemenangan, soal Sophia diketepikan

Foto: Bella enggan kontroversi membayangi kemenangan mendapat tempat ketiga dalam program realiti, Famili Duo, semalam.

SHAH ALAM: Penyanyi dan pelakon Bella Astillah hanya mahu meraikan kemenangannya meraih tempat ketiga menerusi program Famili Duo, semalam.

Dia enggan lagi memanjangkan kontroversi melibatkan rumah tangganya dengan pelakon Sophia Albarakbah, termasuk tindakannya memadam tangkap layar bukti perbualannya dengan pelakon itu yang didakwa cuba mengganggu suaminya, Aliff Aziz dalam Instagram (IG), baru-baru ini.

Tegas Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, selain tidak mahu memanjangkan isu, dia juga enggan kontroversi itu membayangi kemenangannya, semalam.

“Rasanya semua orang sudah tahu apa yang berlaku berkenaan hantaran itu. Saya rasa tiada apa yang perlu diperjelaskan lagi.

“Aliff sudah menjelaskan bagi pihak dirinya. Saya minta maaf, cukuplah.

“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi bercakap perkara ini. Sekarang saya mahu meraikan kemenangan, malam ini.

“Apapun terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan,” katanya pada sidang media selepas konsert Famili Duo akhir di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam tadi.

Antara mesej perbualan didedahkan Bella dalam entri termasuklah Sophia memohon maaf kepadanya dan meminta isu diselesaikan secara tertutup tanpa pengetahuan umum terutama orang tuanya.

Kontroversi tercetus selepas Sophia didakwa cuba mengganggu Aliff ketika mereka bergandingan dalam drama bersiri, Ku AKad Kau Dengan Bismillah arahan Osman Ali.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam program realiti itu, Bella berkata, Famili Duo mengajarnya untuk lebih mengenali potensi diri terutama dalam bidang nyanyian.

“Insya-Allah, saya akan fokus dalam bidang nyanyian. Alhamdulillah, Famili Duo banyak memberi saya pengalaman.

“Dari situ saya boleh nampak apa yang boleh dilakukan, mengikut kemampuan,” ungkapnya.

Dengan kemenangan meraih tempat ketiga itu, Bella dan sepupunya, Wany Kayrie berjaya membawa pulang wang tunai RM15,000.

Pentas akhir Famili Duo menyaksikan pasangan adik beradik, Yamani Abdullah dan Zaki Yamani bergelar juara, manakala naib juara dan tempat keempat masing-masing disandang Fyna Jebat dan Ayda Jebat serta Sissy Imann dan Naim Daniel.

Loading...
Terkini