KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sakinah memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang membuli dan mengejek anaknya, Anais berikutan tular sebuah video di aplikasi TikTok membabitkan anak tunggalnya itu bersama kakaknya, Sharifah Shahirah.
“Saya ingin mengetengahkan satu insiden yang berlaku, baru-baru ini membabitkan anak perempuan saya, Anais dan kakak saya seperti yang tular dalam aplikasi TikTok.
“Saya tak kisah jika kalian nak membuat andaian atau bercakap buruk pasal saya, tetapi bukan pada kanak-kanak berusia 6 tahun.
“Sepanjang 15 tahun saya aktif dalam IG, saya cuba membataskan diri daripada berkongsi perkara peribadi termasuk membuat ulasan mengenai produk mengarut sebagai isi kandungan. “Keutamaan saya lebih kepada menjaga perasaan anak dan reputasi keluarga.
“Sangat mengecewakan apabila melihat anak saya menjadi mangsa buli. Mengambil kira ini adalah amaran terakhir, saya akan mengambil tindakan undang-undang demi untuk melindungi keluarga,” kata Sakinah menerusi hantaran di instagram berbentuk foto bersama anaknya itu.
Menerusi entri sama, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu sempat menitipkan pesanan kepada netizen supaya lebih berhati-hati apabila menulis komen dalam media sosial.
“Marilah kita bersama memupuk persekitaran dalam talian yang penuh belas ihsan dengan mengangkat antara satu sama lain berbanding menjatuhkan mereka,” ungkap Sakinah.