Tumpuan :
Hiburan

AJL 37 janji kemeriahan berganda

KUALA LUMPUR: Anjakan baharu untuk Anugerah Juara Lagu (AJL).

Itu janji penganjur edisi ke-37 AJL yang bakal disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, Ahad ini, dalam mengekalkan reputasi program pencarian lagu terbaik tempatan.

Sehubungan itu, kemeriahan berganda menanti penonton termasuk mereka yang membeli tiket untuk menyaksikan acara bertemakan Dimensi Muzik itu di Axiata Arena.

Penerbit AJL Ke-37, Jamil Hassan, berkata AJL 37 bakal memberi kepuasan berbeza selepas acara anugerah itu suram berikutan sekatan akibat penularan pandemik COVID-19, lebih dua tahun lalu.

“Kami akan memberi anjakan baharu terhadap AJL selepas bergelumang dengan pandemik COVID-19.

“AJL akan kembali bersiaran bagi edisi kali ini secara besar-besaran. Bagaimanapun, kami tetap patuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang COVID-19,” katanya pada sesi tinjauan persiapan akhir AJL 37 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Jamil berkata, persediaan dibuat kali ini lebih besar di mana artis setiap artis diberi kebebasan untuk berkarya tetapi dalam keadaan terkawal.

“Boleh dikatakan setiap artis ada kejutan dalam persembahan,” katanya.

Mengenai sambutan peminat, Jamil berkata, pihaknya berpuas hati apabila tiket yang mula dijual pada 23 Januari lalu, habis dalam tempoh beberapa jam.

“Saya bersyukur dengan sambutan peminat muzik tempatan. Ini bermakna harapan mereka untuk AJL kali ini sangat tinggi.

“Bagaimanapun, jualan tiket ini bukanlah bermotifkan kepada keuntungan semata-mata. Kami mahu beri kepuasan kepada semua penonton,” katanya.

Pada AJL 37, seramai 12 finalis berentap antaranya Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup ciptaan beliau sendiri dan Ernie Zakri yang menepati ramalan apabila lagu Korban nukilannya, mara ke pentas akhir.

Selain itu, lagu Bahagiakan Dia ciptaan penyanyi muda, Alif Iskandar dengan lirik dihasilkan Alif dan Que Afiq. Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh Shila Amzah dan Liza Hanim.

Sembilan lagi lagu yang layak ke AJL 37 ialah Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos/ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo); Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).

Turut bersaing, Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).

Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman).

AJL 37 julung kali menggandingkan dua hos wanita, Sherry Alhadad dan Jihan Muse bagi mengemudi acara itu.

Loading...
Terkini