SHAH ALAM: Aina Abdul, Khai Bahar dan Dolla mempertahankan trofi dimenangi pada edisi lalu dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, malam ini.
Aina menewaskan Siti Nordiana, Ernie Zakri Stacy dan Adira Suhaimi dalam kategori Penyanyi Wanita Popular yang diinspirasikan CONBO.
Kejayaan itu membuktikan teguhnya sokongan peminat terutama yang bernaung di bawah kelab, Ainations mengundi idola mereka.
Sementara itu trofi Penyanyi Lelaki Popular juga dipertahankan Khai Bahar atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 30, mengetepikan saingan terdekat, Haqiem Rusli yang merangkul trofi Penyanyi Lelaki Popular pada edisi ke-33 dan ke-34 ABPBH.
Selain Haqiem, turut berputih mata adalah Hael Husaini, Aliff Aziz dan Amir Masdi.
Sebelum ini, Khai yang juga anak jati Perlis pernah mencipta hatrik apabila memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH 30, ABPBH 31 dan ABPBH 32.
Tidak terkecuali, kumpulan tari wanita sensasi, Dolla menjulang trofi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.
Kemenangan itu membuktikan pengaruh besar Dolla yang terus menjadi pilihan peminat selepas merangkul trofi Artis Baharu Wanita pada ABPBH 34.
Tinggal bertiga selepas salah seorang anggota, Noorsyasya Afiqah Shahrizal atau Syasya meninggalkan kumpulan itu, Wan Sabrina Wan Rusli atau Sabronzo, Tabitha Ariel Lam (Tabby) dan Angelina Chai Ka Ying (Angel) terus teguh meneruskan perjuangan Dolla.
Antara kejayaan Dolla adalah diberi peluang menghangatkan pentas Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang K-Pop antarabangsa seperti NCT Dream, WayV, KARD dan ALICE.
Dolla melancarkan album sulung digital berjudul New Classic, November tahun lalu dengan single pertama berjudul Damelo meraih lebih 5.3 juta tontonan di YouTube.
Bertemakan Teguh, ABPBH 36 diinspirasikan penaja utama, CONBOO.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.