Tumpuan :
Hiburan

[VIDEO] ABPBH 35: Tampil finalis dari pelbagai lapisan generasi  

Oleh: Ain Shafiqah Zaki 

KUALA LUMPUR: Debaran malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH 35) kian terasa, apabila finalis bagi 10 artis yang mendahului undian bagi mengejar takhta Bintang Paling Popular diumumkan, semalam.

Antaranya Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Bell Ngasri dan Ben Amir.

Bakal berlintas langsung pada 21 Julai ini, acara hiburan pilihan peminat nombor satu sejak 1987 itu juga akan menggandingkan bintang legenda dan bakat pelapis baharu dalam mengemudi serta menyerikan ABPBH 35.

Memilih penyampai radio Hot FM, Johan dan pengacara popular, Ain Edruce selaku hos utama acara itu, ia kerana terdapat perbezaan generasi sejajar dengan tema yang diangkat.

“Ain sebenarnya teruja dapat bergandingan bersama Abang Johan, macam kita tahu Abang Johan memang terkenal dengan pandai mengacara, pandai buat punchline,” ujar Ain Edruce.

“Kami akan memberikan yang terbaik dan dari segi keserasian kami bina dengan sekerap mana kami berjumpa sebab benda ni semua kena rancang.

“Spontan nombor dua, tanpa spontan tak jadi apa maka kami akan merancang untuk malam anugerah tu nanti,” kata Johan yang juga tercalon dalam kategori Penyampai Radio Popular.

Bagi acara karpet merah pula, ia akan dihoskan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali dan Riena Diana.

Lebih mengujakan, Bekas Menteri Kesihatan yang kini bergelar penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin juga diumum antara penyampai trofi pada malam kemuncak itu.

Bagi persembahan pula, ABPBH 35 menjanjikan persembahan daripada legenda muzik termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Haziq Rosebi, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Luqman Podolski pula antara wakil pelapis baharu yang bakal mewarnai malam kemuncak itu.

Loading...
Terkini