Tumpuan :
Dunia Seni

99 kali tercalon di Grammy, Beyonce kali pertama menang Album Terbaik

FOTO: Reuters

LOS ANGELES: Bintang R&B dan pop, Beyonce menepati ramalan apabila menang kategori Album Terbaik menerusi album Cowboy Carter pada Anugerah Grammy Ke-67 yang disiarkan secara langsung dari Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan penyanyi berusia 43 tahun itu merampas kedudukan yang sebelum ini disandang Taylor Swift menerusi album Midnights pada Anugerah Grammy Ke-66, tahun lalu.

Dengan mempertaruhkan album Cowboy Carter yang dilancarkan Mac tahun lalu, Beyonce menewaskan Swift yang dicalonkan menerusi album The Tortured Poets Department; Sabrina Carpenter (Short n’ Sweet); Andre 3000 (New Blue Sun); Charli xcx (Brat); Jacob Collier (Djesse Vol 4); Billie Eilish (Hit Me Hard and Soft) dan Chappell Roan (The Rise and Fall of a Midwest Princess).

Beyonce atau nama sebenar, Beyonce Giselle Knowles menjadi wanita kulit hitam keempat yang memenangi kategori berkenaan.

Ketika menerima trofi, Beyonce mengucapkan terima kasih kepada Anugerah Grammy atas pengiktirafan itu.

“Saya rasa sangat penuh dan sangat dihormati. Sudah bertahun-tahun dan saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada Grammy, setiap penulis lagu, rakan kolaborasi dan penerbit atas kerja keras,” katanya.

Beyonce turut memberi dedikasi akhir khas buat pelopor muzik country kulit hitam, Linda Martell.

“Saya harap kita terus maju dan buka pintu. Semoga Tuhan memberkati kalian semua,” katanya.

Terdahulu, Beyonce turut memenangi kategori Album Country Terbaik menerusi album Cowboy Carter.

Anugerah Grammy Ke 67 menyaksikan Beyonce mendahului dengan 11 pencalonan, sekali gus menjadikan dirinya penyanyi paling banyak dicalonkan dalam sejarah penganjuran acara pengiktirafan berprestij itu dengan jumlah keseluruhan 99 pencalonan.

Walaupun memenangi anugerah terbanyak sepanjang kariernya, ini kali pertama Beyonce memenangi kategori Album Terbaik dalam Anugerah Grammy.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini