Oleh Hanis Aliaa Hidzir
Platform media digital Malaysia, SAYS baru-baru ini melancarkan inisiatif baharu dikenali sebagai YouthSAYS yang memberi peluang kepada golongan muda untuk berkongsi pandangan, idea dan kreativiti mereka melalui penulisan.
Bukan sekadar platform berkongsi pendapat, YouthSAYS juga menjadi pemangkin perubahan yang membuka ruang kepada anak muda untuk memberi inspirasi, mempengaruhi, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Individu berusia antara 15 hingga 25 tahun digalakkan untuk menghantar karya penulisan mereka merangkumi pelbagai topik seperti pengalaman peribadi, isu-isu semasa, hobi, minat, sehinggalah tips kehidupan.
Lebih menarik, semua bentuk penulisan adalah dialu-alukan.
Karya yang terpilih akan diterbitkan di platform SAYS dan dikongsikan secara meluas di media sosial rasmi mereka.
Sebagai tanda penghargaan, penulis terpilih juga bakal menerima hadiah dan barangan eksklusif daripada penaja.
Untuk menyertai kempen YouthSAYS, individu yang berminat boleh menghantar karya mereka ke laman sesawang youth.says.com atau e-melkan ke [email protected].
Pelancaran YouthSAYS merupakan satu langkah positif dalam usaha memperkasa suara anak muda. Platform ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pendapat malah menyumbang kepada pembangunan negara.
Dengan adanya platform seperti YouthSAYS, diharapkan lebih ramai anak muda akan berani untuk bersuara dan menjadi agen perubahan.