Oleh: Ain Shafiqah Zaki
PETALING JAYA: Sekumpulan penuntut sebuah universiti tempatan bukan sahaja ke Turkiye bagi mempelajari budaya di Istanbul, malah turut membawa misi memberi sinar harapan untuk kanak-kanak pelarian Uyghur di sana melalui program Rays Of Hope For Uyghur Refugee Children.
Pengarah Program itu, Alya Ellyana Zulkarnain berkata, program dengan kerjasama Persatuan Tumbuh Insan (TUMBUH) itu berkonsepkan Tanggungjawab Sosial Program (CSR) bertujuan memberi sokongan holistik kepada kanak-kanak pelarian Uyghur.
“Dalam program ini juga, MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam juga telah memberi sumbangan sebanyak 21,260 Turkish Lira (RM2,800) yang dikumpul melalui hasil kutipan derma.
“Antara pengisian program termasuk beberapa sesi aktiviti khusus untuk mengasah dan memperkukuh kecerdasan emosi kanak-kanak melalui permainan kreatif yang dapat mengurus emosi.
“Selain itu, kanak-kanak itu juga didedahkan dengan aktiviti permainan interaktif seperti mewarna dan melukis untuk mengasah kreativiti mereka.
“Akhir sekali, mereka dapat mengasah inovasi diri melalui pengajaran pembuatan “slime” yang memerlukan kesabaran, teknik yang betul dan juga inovasi bagi memastikan “slime” tersebut menjadi seperti yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Inisiatif yang disumbangkan itu diharap dapat meringankan beban pengurusan harian bagi kanak-kanak berkenaan sekaligus dapat memberi peluang kepada mahasiswa menyantuni komuniti luar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.