Tumpuan :
Gaya Hidup

Nenek berusia 100 tahun dedah rahsia kekal sihat

Nenek tua berusia hampir 100 tahun berkongsi rahsia dia kekal sihat dan panjang umur. FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seorang nenek mendedahkan rahsia dia kekal sihat hingga mampu mencapai usia 100 tahun dengan hanya mengamalkan pemakanan sihat.

Kisah itu dikongsinya menerusi satu video pendek berdurasi 39 saat yang tular di media sosial.

Berdasarkan video itu, warga emas dikenali Tokoyop Kombilung itu kelihatan sihat dan ceria ketika menceritakan kisah hidupnya kepada orang ramai dalam bahasa Kadazandusun (Kadazan-Dusun) sambil menggunakan alat pembesar suara.

FOTO: NSTP

Video itu dipercayai dirakam pada satu majlis keramaian di Tambunan.

Sepanjang tempoh bercerita, nenek itu tidak lekang daripada senyum dan ketawa hingga membuatkan hadirin yang mendengarnya berasa ceria dan terhibur.

Beliau turut menerima sorakan hadirin yang mendengar kisah hidupnya.

“Ada yang bertanya apa rahsia menjadi amalan saya sehingga kekal sihat dan berupaya hidup lama menjangkau usia hampir 100 tahun. Sebenarnya, tiada apa rahsia yang menyebabkan saya masih sihat dan panjang umur,” katanya.

Warga emas yang mengenakan baju berwarna biru dan bertutup kepala dalam video itu mendedahkan untuk kekal sihat, dia hanya menjaga pemakanannya.

“Ada yang tanya apa yang saya makan. Sebenarnya, jika saya ingin makan masakan bergoreng, saya akan buat cara itu. Jika tidak larat, saya ambil nasi putih, tuang air dan makan. Itulah yang saya lakukan,” katanya yang menerima panggilan Gama dalam bahasa Dusun atau emak dalam Melayu.

Nenek itu yang turut berpuisi dalam bahasa Kadazandusun, sekali sekala kelihatan mengesatkan air matanya.

Loading...
Terkini