KUALA LUMPUR: Platform Media Prima, Sirap Limau tampil dengan kempen Masam Masam Manis yang bertujuan meraikan realiti kehidupan perkahwinan secara holistik.
Kempen yang berlangsung sehingga 14 Januari 2025 ini menampilkan pendekatan unik untuk menampilkan sisi berwarna cinta, cabaran dan keindahan dalam hubungan perkahwinan.
Ketua Kandungan Sirap Limau, Nurul Halifah Hamiruddin berkata, kempen ini bukan sekadar hiburan tetapi juga sebagai platform inspirasi yang meraikan hubungan suami isteri tanpa klise perkahwinan sempurna.
“Perkahwinan tidak selamanya indah, tetapi di situlah terletaknya kekuatan cinta.
“Melalui kisah-kisah realistik, kami mahu mengajak pasangan menghargai perjalanan hidup bersama,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kempen ini dibahagikan kepada empat tema utama yang menggambarkan fasa perkahwinan, iaitu Sehati Sejiwa, Gelora Perkahwinan, Kemuncak Cinta dan Kembali Terjalin.
Setiap tema menyelami pelbagai aspek hubungan pasangan dengan pendekatan naratif yang dekat di hati pembaca.
Kongsi kisah, raikan cinta
Platform khas di laman web Sirap Limau memberi peluang kepada pasangan untuk berkongsi cerita perkahwinan mereka secara tidak dikenali.
Kisah-kisah ini akan digunakan sebagai inspirasi untuk kandungan media sosial.
Selain itu, kempen ini juga menawarkan hadiah mingguan bernilai lebih RM500 melalui cabaran foto bertemakan cinta.
Peserta hanya perlu memuat naik gambar bersama pasangan di Facebook dengan kapsyen bermakna dan menggunakan tanda pagar #MasamMasamManis serta #TulisKisahHati.
Kerjasama strategik program bual bicara
Kempen ini turut bekerjasama dengan organisasi seperti tilljannah.my dan Andorra Women’s & Children Hospital untuk menyampaikan kandungan bermakna kepada penonton.
Kemuncaknya, kempen Masam Masam Manis akan diakhiri dengan sebuah program bual bicara pada 8 Januari 2025, bertemakan Alam Perkahwinan Di Zaman Digital.
Program ini akan dihoskan oleh juruhebah radio popular, Muaz Mohamed dengan menampilkan pencipta kandungan terkenal, Sufia Johari dan pakar kaunseling keluarga, Haji Hushim.
Sementara itu, Pengurus Kempen, Anis Amirah Ammar Affandi berkata, penganjuran kempen ini juga bertujuan membincangkan bagaimana media sosial mempengaruhi perkahwinan moden dan memberi panduan kepada pasangan untuk membina hubungan yang kukuh di era digital ini.
Kempen Masam Masam Manis bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi ruang inspirasi untuk pasangan memahami dan menghargai keindahan perjalanan cinta.
Untuk maklumat lanjut, layari siraplimau.com/masammasammanis.