Tumpuan :
Gaya Hidup

Gerai Batu Hitam tarikan baharu pengunjung pantai Batu Hitam

Gerai Batu Hitam di pantai Batu Hitam dibina dengan kos RM2.5 juta dan mula beroperasi sejak Januari lalu. FOTO: NSTP

KUANTAN: Gerai Batu Hitam yang terletak di pantai Batu Hitam, di sini diharap menjadi tarikan utama pengunjung ke pantai itu dan negeri Pahang.

Ia mengambil inspirasi daripada suasana di tepi pantai di Sydney, Australia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata bangunan gerai bernilai RM2.5 juta itu bukan sahaja memiliki tarikan dari segi reka bentuk, malah pemandangan dan keindahan pantainya.

FOTO: NSTP

Katanya, selain itu, tarikan utama adalah makanan yang dijual di gerai berkenaan dan sudah pasti Gerai Batu Hitam diharap akan menjadi ikon pelancongan di Pahang.

“Dengan menampilkan bangunan gerai yang lebih selesa dan ruang menjamu selera lebih luas, kawasan letak kereta juga turut ditambah bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung,” katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata faktor itu diharap dapat memberi manfaat kepada bandar raya Kuantan dan peniaga di situ.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Fakhruddin Mohd Arif (kanan) merasmikan dan meninjau gerai pantai Batu Hitam. FOTO: NSTP

Gerai baru itu mula beroperasi Januari lalu selepas mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Mohammad Fakhruddin demikian berkata pada sidang media selepas merasmikan Gerai Batu Hitam sempena sambutan ulangtahun ketiga Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBK, Datuk Razihan Adzharuddin.

FOTO: NSTP

Bagi memastikan gerai makan di pusat peranginan mendapati sambutan, beliau berkata semua peniaga perlu mengutamakan kebersihan bukan sahaja premis, malah makanan dan minuman.

“Kita harap agensi kerajaan seperti MBK dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut melakukan pemantauan di kawasan strategik. Dengan mengutamakan kebersihan dan menjual makanan yang sedap, lebih ramai pengunjung akan ke pusat peranginan seperti pantai Batu Hitam,” katanya.

Loading...
Terkini